‘Anak kami layak’ – Anzalna jawab teguran tak perlu mewahkan anak

DITEGUR tidak perlu memewahkan anak-anak secara berlebihan, pelakon Anzalna Nasir menegaskan zuriatnya layak menerima layanan terbaik.

Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir, 37, memaklumkan rezeki yang dinikmati perlu dikongsikan bersama kedua puteranya, Mohamad Eidrees dan Mohamad Emirhan dalam mewujudkan kebahagiaan dan kenangan indah.

“Ada segelintir orang berkata kami tidak seharusnya manjakan anak-anak dengan pakaian mahal atau bawa ke tempat-tempat mewah.

Tetapi kenapa tidak? Anak kami layak mendapat yang terbaik. Tidak salah memberi kebahagiaan dan mencipta kenangan indah.

“Nikmat yang kita terima adalah untuk dikongsi bersama orang tersayang,” katanya dalam Instagram.

Dalam hantaran Instagram tersebut, pelakon drama Cinta Dari Syurga itu turut mengucapkan selamat hari lahir buat anak-anaknya yang menyambut kelahiran pada bulan Mei.

Pada masa sama, Anzalna dan suaminya, Muhammad Hanif Zaki berusaha keras bagi menunaikan permintaan kedua puteranya walaupun sudah meningkat dewasa kelak.

“Setiap tahun, kami meraikan mereka (anak) dengan sepenuh hati kerana mereka layak untuk menerima semua ini.

“Rezeki anak ini memang lain macam. Nikmat yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata tetapi hanya boleh dirasai dengan hati.

“Selagi ada rezeki, kami akan sentiasa memberikan terbaik untuk anak-anak dari mereka kecil hingga dewasa,” ujarnya.

Terdahulu, Anzalna dan Hanif mendirikan rumah tangga pada 2016.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Mohamad Eidrees, 6 dan Mohamad Emirhan yang kini berusia tiga tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok