BAND popular Indonesia, Nidji teruja produksi Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) memilih single mereka berjudul Teman Sejati sebagai salah satu lagu tem filem animasi mega itu.
Vokalis Nidji, Ubay atau nama lengkapnya Muhammad Yusuf Nur Ubay berkata, kolaborasi sulung antara Nidji dengan WAU Animation dan Primeworks Studios membuka lembaran baharu, sekali gus memperkenalkan single yang dimuatkan dalam album terbaharu berjudul Manifestasi Hati dengan lebih meluas.
“Terima kasih kepada pasukan Ejen Ali kerana mempromosikan filem ini dengan berlatarkan lagu Teman Sejati yang merupakan lagu sampingan dalam album kami pada 2019.
Bagi kami, EATM2 sangat menyentuh hati dan memberi kesan kepada penonton. Lagu Teman Sejati ini memang sudah ada dalam album kami iaitu Manifestasi Hati.
“Sebenarnya lagu ini sudah lama dihasilkan iaitu pada 2019. Saya anggap ini adalah rezeki daripada Tuhan untuk ‘berjodoh’ dengan EATM2. Lagu ini secara kebetulan sesuai dengan filem animasi di Malaysia ini” katanya pada sesi temubual eksklusif bersama Nidji di Balai Berita di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof; CEO WAU Animation merangkap Pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin dan komposer EATM2 dari Wau Animation, Azri Yunus.
Ubay mengakui lagu Teman Sejati kedengaran lebih indah sebaik digunakan sebagai muzik latar untuk babak tertentu dalam filem kegilaan ramai itu.
Kita sama sekali tidak meletakkan sebarang sasaran untuk lagu ini. Apa yang kami dapat ketika ini melebihi jangkaan.
“Malah, kami tidak sangka apabila lagu ini boleh jadi seindah itu apabila dijadikan salah satu runut bunyi untuk EATM2,” katanya.
Sementara itu, gitaris Nidji, Andi Ariel Harsya yang berperanan sebagai komposer dan penulis lirik Teman Sejati tidak menyangka dengan sambutan yang diterima terhadap lagu berkenaan.
Tak sangka apabila lagu yang dihasilkan ini sangat sesuai untuk EATM2. Penghargaan buat kru produksi dan penata suara yang menempatkan lagu ini pada babak tetap.
“Jadi, sebaik menonton filem ini kami juga ikut sekali hanyut terutama ketika menonton babak yang menggunakan lagu ini,” katanya.
Nidji turut dianggotai Ramadhista Akbar sebagai pemain gitar, Randy Danistha (keyboard), Andro Regantoro (bes) dan Adriana Prakarsa (dram).
Terdahulu, kerjasama Nidji dan EATM2 menerusi lagu Teman Sejati dipuji ramai kerana mengangkat semangat setia kawan melalui lirik yang bermakna serta susunan muzik yang segar serta menyentuh perasaan.
Lagu itu kini menjadi simbol keutuhan persahabatan antara ejen dalam menempuh cabaran bersama, menjadikannya antara lagu tema yang paling diingati dalam francais animasi berkenaan.
Klip montaj rasmi lagu Teman Sejati yang dimuat naik di YouTube mencecah hampir 240,000 tontonan setakat ini. – HIBGLAM