PELAKON Nabil Aqil mengakui pengalaman menjalin hubungan dengan seorang artis wanita yang hanya bertahan selama tiga bulan sekitar 2022 membuatkannya lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.
Tidak berkongsi secara terperinci identiti selebriti berkenaan, Nabil atau nama sebenar, Mohammad Nabil Aqil Muhammad Salehuddin, 27, berkata, hubungan mereka mulai renggang selepas wanita itu mula menjalin hubungan dengan pelakon lelaki lain di set penggambaran.
“Sebenarnya pada 2022, saya pernah menjalin cinta dengan seorang pelakon wanita, namun hubungan itu tidak berjalan dengan indah.
Saya yang jatuh hati dengan pelakon itu, kemudian luahkan perasaan dan dia pun terima tetapi perkara lain pula berlaku.
“Hubungan itu hanya bertahan tiga bulan disebabkan artis itu berlakon dengan lelaki lain dan mereka jatuh cinta pula di set penggambaran,” katanya ditemui pada sesi ramah mesra bersama pelakon drama Aku Bukan Ustazah 2 di sini, semalam.
Meski berakhir duka, Nabil menegaskan dia tidak pernah serik untuk bercinta dengan wanita dari kalangan selebriti namun lebih selesa sekiranya individu tersebut tidak terbabit dengan industri seni.
“Kalau ada tawaran yang mahu gandingkan kami bersama selepas ini, saya okey dan akan bersikap profesional sahaja.
Saya tidak serik bercinta dengan artis, tetapi lebih berhati-hati sebab melibatkan isu kepercayaan.
“Bagi saya, kalau hendak bercinta dengan artis memang kena kuat sebab mereka akan bertemu dengan ramai orang,” katanya lagi.
Menerusi drama Aku Bukan Ustazah 2 yang kini hangat ditayangkan menerusi slot Lestary TV3 setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 9 malam, Nabil turut digandingkan bersama barisan pelakon hebat lain seperti Erysha Emyra, MK K-Clique, Shaza Bae dan Zahiril Adzim. – HIBGLAM