Mila Mohsin si pewaris Jimi Asmara, PGL

BAGAI cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah pepatah menggambarkan ledakan kehadiran wajah-wajah baharu dalam industri lakonan tanah air.

Namun, dalam rimbunan nama baharu itu, tidak semua mampu menyinar dan berdiri megah atas tapak sendiri. Berbeza bagi permata baharu bernama Mila Mohsin.

Dengan tubuh yang mengalirkan darah seni dua figura besar, Allahyarham Hani Mohsin dan Puan Sri Tiara Jacquelina, wanita berusia 29 tahun itu hadir bukan sekadar menjual nama, sebaliknya tampil dengan pakej lengkap iaitu bakat, rupa, disiplin dan dedikasi.

Paling penting dia bukan menumpang populariti, tetapi melakar jalannya sendiri, satu per satu, perlahan-lahan tetapi penuh tekad.

“Saya tahu ramai fikir saya masuk bidang ini sebab ibu dan arwah ayah. Saya tak boleh nak kawal apa yang orang nak cakap atau fikir.

“Tapi hakikatnya, saya lalui semua ini sendirian. Datang uji bakat, tunggu keputusan dan akhirnya diberi kepercayaan,” katanya kepada HibGlam.

Memulakan langkah perdana dalam filem Laknat, pemilik nama sebenarnya Hani Karmila Hani Mohsin itu sebenarnya bukanlah mentah dalam dunia seni.

Sebelum melangkah ke set penggambaran, Mila sudah menempuh pelbagai laluan mencabar, daripada menjadi atlet dan pelatih jiujitsu selama sedekad, sehinggalah bergelar jurusolek profesional selama sembilan tahun.

“Saya ambil masa lama untuk benar-benar bersedia masuk ke dunia lakonan. Bukan kerana takut, tapi kerana saya mahu pastikan diri cukup matang dan bersedia dari segala sudut.

“Saya kagum dengan Bront Palarae, cara beliau bawa nama Malaysia ke peringkat lebih besar. Saya mahu lakukan perkara sama,” luahnya bersungguh.

Berkali-kali si cantik itu menegaskan, peluang membintangi filem Laknat bukan datang atas tiket ‘kabel’, sebaliknya hasil usaha dan keberanian hadir ke sesi uji bakat seperti pelakon lain.

“Pengarah filem itu pada awalnya tidak tahu saya anak Tiara Jacquelina. Hanya selepas meneliti profil barulah dia tahu. Saya datang uji bakat, bukan dihantar oleh sesiapa.

“Bagi saya, tiada jalan pintas untuk berjaya. Semuanya perlu dilalui dengan kerja keras dan pengorbanan,” tegasnya.
Lebih manis, gadis tinggi lampai itu turut mendapat restu daripada ibunya untuk menceburkan diri secara serius dalam bidang seni lakon, malah Tiara sendiri menyokong penuh keputusannya.

“Ibu tahu saya minat dunia seni sejak kecil. Saya sangat bertuah dapat belajar daripada ibu dan arwah bapa. Setiap langkah yang saya lewati, mereka ada dalam fikiran, jiwa dan hati saya di mana-mana.

“Apabila pengarah hubungi saya, saya terus cakap ya. Ibu restu dan itu cukup untuk beri saya semangat. Ketika itu juga saya merasakan sudah bersedia nak menceburi dunia perfileman tanah air,” ujarnya.

Dalam masa sama, anak pelakon filem Puteri Gunung Ledang itu akur dia tidak dapat mengelak daripada dibandingkan dengan kualiti lakonan ibu bapanya.

Pun begitu, dia menegaskan bahawa legasi seni tidak diwarisi secara automatik, tetapi perlu dibina dengan jati diri dan kerja keras.

“Saya bukan mereka. Saya Mila Mohsin. Saya mahu menjadi sebuah legasi baharu yang tetap menjunjung nilai seni mereka, tetapi dengan identiti sendiri.

“Mungkin sebab itulah saya mengambil masa panjang untuk saya benar-benar bersedia kerana setiap orang ada masa yang tertentu. Dulu saya takut dengan perbandingan. Sekarang, saya terima semuanya.

“Kalau filem ini berjaya, saya anggap sebagai permulaan yang baik. Saya hargai cerita yang bagus dan percaya semua cerita bermanfaat untuk diceritakan, memang patut diceritakan,” tutupnya.

Laknat yang bakal menemui penonton bermula 5 Jun ini turut dibintangi pelakon hebat seperti Aeril Zafrel, Puteri Balqis, Jalil Hamid, Amerul Affendi, Noorkhiriah dan Naque Ariffin.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok