SELEPAS pengumuman peluncuran filem Keluang Man, sebuah naskhah diadaptasi daripada animasi kegilaan sekitar awal tahun 2000-an, ramai yang tidak sabar menantikan karya arahan Anwari Ashraf.
Kini, filem superhero kesayangan Malaysia akhirnya diangkat ke layar perak dan mendominasi pawagam sejak 29 Mei lalu.
Bersyukur dapat menjadi keluarga Keluang Man, pelakon Datuk Remy Ishak mengakui Anwari menonjolkan jalan cerita berbeza daripada animasi.
“Alhamdulillah, syukur sangat menjadi sebahagian daripada filem Keluang Man ini sebab saya sendiri membesar dengan lawak-lawak ikonik Keluang Man.
“Apabila difilemkan, saya menjadi salah seorang pelakon dalam cerita ini pula, jadi saya rasa berbesar hati sangat. Genre yang disajikan Anwari memang sangat berbeza daripada komik, jadi saya nak bagi jangkaan sama, tak boleh.
“Saya faham apa yang Anwari cuba sampaikan dalam Keluang Man ini memang istimewa selain tidak sama dengan animasi dan komik,” katanya kepada HibGlam.
Pada masa sama, Remy turut memuji filem Keluang Man sebagai karya adiwira terbaik tempatan yang pernah dihasilkan.
“Saya rasa ini adalah cerita adiwira terbaik yang kita pernah ada. Kalau dalam komik, Shamsir adalah orang tua tetapi versi filem Anwari buat lain.
“Kita cuba pergi sehampir yang boleh tetapi sebab genre berbeza sikit jadi saya cakap lebih kurang 70 peratus hampir sama,” ujarnya.
‘Tak overshadow Nas-T’
Sebelum filem dihasilkan, ramai yang tidak yakin dengan keupayaan Nas-T memegang watak sebagai Keluang Man.
Melihat kepada usaha keras dalam proses latihan, pemilik nama lengkap Mohammad Zalimei Ishak akui Nas sememangnya layak menjadi peranan utama filem berkenaan.
“Saya menjalani proses latihan bersama Nas sebab asas seni pertahankan diri dia tidak besar tetapi saya melihat kesungguhan dia sepanjang berlatih. Saya rasa dia boleh buat sesuatu dalam diri dia, ada potensi besar untuk menjadi Keluang Man walaupun sebelum ini ramai yang kata tidak elok.
“Semasa menjalani proses latihan, saya nampak dia satu-satunya (layak),” ujar aktor berusia 43 tahun itu.
Ditanya sekiranya ada komen mengenai watak Remy mampu menenggelamkan Nas, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu menafikan perkara tersebut kerana hanya muncul dalam beberapa babak sahaja.
“Tak perasan ada ‘overshadow’ Nas T sebab saya hanya muncul beberapa kali sahaja dan tak mungkin saya berbuat demikian kepada watak utama. Masa penggambaran pun sejujurnya saya selalu baca skrip penuh untuk tahu jenis watak tetapi sebab Anwari banyak ‘shot’, saya pening nak baca semua.
“Sampai saya rasa baca watak sendiri sahaja. Ada beberapa babak yang saya tak perasan pun ada sebab tak baca penuh. Itu yang saya terbahak-bahak masa tonton,” tutupnya.