Baca skrip bahasa Melayu depan cermin sampai lancar – Zhen Ning

DEMI menjayakan naskhah Anak-Anak Mafia, pelakon Zhen Ning berdepan cabaran besar apabila perlu bertutur dalam bahasa Melayu.

Namun, Zhen, 25, berusaha keras berlatih melontarkan dialog di hadapan cermin agar tidak kekok dalam drama tersebut.

Saya berdialog dalam dua bahasa iaitu Melayu dan Mandarin. Memang susah dan sedikit mencabar untuk lontarkan dialog bahasa Melayu.

“Namun tidak menjadi masalah kerana saya sudah melakukan persiapan awal.

“Saya baca skrip dan berlatih depan cermin supaya sebutan bahasa Melayu saya lancar. Berlatih sampai lidah tidak kaku,” katanya semasa acara bertemu peminat bersama barisan pelakon drama Anak-Anak Mafia di Pusat Dagangan Putra (WTC), kelmarin.

Berkongsi mengenai drama terbabit, Zhen menggalas watak sebagai penggodam.

“Saya membawakan watak Rudy iaitu seorang ‘hacker’ (penggodam), jadi kelebihan dia adalah menggodam.

Kalau adegan berlawan, mungkin nampak lemah sikit dan kebanyakannya kalah.

“Rakan-rakan pelakon lain banyak membantu dan memberi saya energi. Jadi kami tolong-menolong antara satu sama lain sepanjang penggambaran,” kongsinya.

Selain Zhen, Anak-Anak Mafia turut dibintangi Mierul Aiman, Fitri Farok, Fariz Isqanda dan Scha Elinnea.

Drama 10 episod arahan Suhaimi Zulkefli akan mula ditayangkan pada 12 Jun ini dalam platform penstriman Tonton. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok