PELAKON dan usahawan Wawa Zainal mengakui wujud rasa ragu-ragu untuk membenarkan anak perempuannya, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa untuk terus aktif dalam bidang perniagaan kek batik.
Menurut Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, 34, perasaan tersebut mula dirasakannya bersama suami, Aeril Zafrel selepas melihat kehidupan Hayla yang baru berusia sembilan tahun tidak sama seperti kanak-kanak lain.
“Saya dan Aeril dalam dilema, adakah Hayla terlalu muda atau berbakat pada usia muda?
“Saya masih memikirkannya,” katanya dalam Instagram.
Tanbahnya, dia mahu Hayla memiliki zaman kanak-kanak seperti gadis seusia berbanding menghabiskan masa di dapur menyiapkan tempahan kek batik yang semakin hari semakin laris.
“Saya mahu dia berseronok menjadi kanak-kanak seperti bermain, belajar dan carefree.
“Masih tertanya-tanya, betul ke saya buat ini untuk menggalakkan Hayla menceburi dalam perniagaan,” katanya lagi.
Sementara dalam ruangan komen berpendapat Wawa dan Aeril perlu memberi kebebasan kepada Hayla ketika ini untuk meneroka pelbagai perkara.
“Biarkan dia menerima tempahan dan buat kek sebanyak mana dia mahu sehingga berasa penat serta berhenti melakukannya.
“Bagus sebenarnya dia mempunyai minat begini. Sekurang-kurangnya dia ada kemahiran yang kanak-kanak lain tiada,” komen netizen.
Terdahulu, Wawa pernah berkongsi menghadiahkan sebuah peti sejuk pembeku (chiller) sebagai tanda sokongan kepada Hayla yang semakin rancak mengambil tempahan kek batik.
Selain Hayla, Wawa dan Aeril yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2013 turut mempunyai tiga orang lagi cahaya mata iaitu, Ahmad Fakhruddin Attar,11, Ayya Sofia, 5 dan Muhammad Fahri, 4 tahun. – HIBGLAM