LEBIH empat dekad mengunci mulut, seorang wanita yang mengaku anak kepada penghibur tersohor dunia, Freddie Mercury menegaskan insan terdekat bapanya tahu kewujudannya termasuk anggota Queen.
Individu berusia lingkungan 40-an itu muncul membawa bukti 17 jurnal peribadi ditulis tangan oleh Mercury sendiri yang juga vokalis kumpulan terbabit.
Pendedahan tersebut dikongsikan dalam biografi berjudul Love, Freddie: Freddie Mercury’s Secret Life and Love garapan penulis terkenal yang kerap menghasilkan buku legenda muzik dunia, Lesley-Ann Jones.
Menurut Jones, awalnya dia sendiri ragu-ragu apabila pertama kali dihubungi wanita dikenali sebagai B yang mendakwa dirinya anak Freddie Mercury.
Namun keraguannya pudar apabila sepanjang lebih tiga tahun proses penulisan berlangsung, B tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau meminta bayaran.
“Daripada pengalaman lalu, saya bertemu dengan ramai orang dengan bermacam-macam keinginan sama ada demi wang, mencari publisiti, kepuasan atau penghargaaan. Tetapi dia bukan begitu,” katanya. – HIBGLAM