LEBIH setahun selepas mengerjakan umrah pada 2024, maestro muzik tanah air, Datuk M. Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa kali menyahut panggilan suci melengkapkan rukun Islam kelima, berangkat menunaikan haji hari ini.
Menerusi sebuah video Instagram, M, Nasir dan Marlia dilihat tiba di lapangan terbang serta diiringi ahli keluarga sebelum berlepas ke Tanah Suci.
Perkara tersebut dikongsi pemilik akaun dikenali sebagai Siella Zamri yang mendoakan perjalanan penyanyi juga komposer berkenaan.
“Semoga perjalanan Datuk dan Datin ke Tanah Suci dipermudahkan Allah.
“Segala amalan diterima dan mendapat haji mabrur. Doa kami semua sentiasa mengiringi setiap langkah, insya-Allah,” katanya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Mentera Semerah Padi turut mengulang siar foto momen di lapangan terbang sebelum berangkat dalam InstaStorynya.
Selain M. Nasir, selebriti tempatan lain yang turut menunaikan ibadah haji musim kali ini adalah Bella Dally dan suaminya. – HIBGLAM