Gemar minum air panas, Wawa Zainal masuk wad sebab gastrik

PELAKON Aeril Zafrel mendedahkan isterinya, Wawa Zainal terpaksa ditahan di hospital semalam selepas mengalami serangan gastrik sehingga tidak mampu berjalan.

Menurut Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 37, masalah tersebut berpunca daripada sikap Wawa yang terlalu gemar minum air panas, walaupun doktor sudah menasihatkan sebaliknya.

“Wawa kena gastrik semalam, sampai tak boleh berdiri. Terpaksa bawa dia pergi ambil injection dan terus masuk wad.

“Saya dah cakap, kalau tak nak pergi hospital awal-awal nanti susah. Dia degil, tapi saya tak ada pilihan lain.

“Gastrik dia agak teruk sebab terlalu kerap minum air panas. Padahal doktor dah nasihatkan, tapi dia tetap nak juga,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon Abnormal Buas itu.  isterinya hanya ditahan satu malam dan dibenarkan keluar hari ini selepas keadaannya kembali stabil.

“Alhamdulillah, hari ini dia dah keluar. Moga jadi pengajaran untuk jaga pemakanan lepas ni,” ujarnya pada sidang media Pelancaran Komik Kolaborasi Under18 x Klepet di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL), hari ini

Dalam perkembangan lain, bapa tiga anak itu mengumumkan penglibatannya sebagai penerbit eksekutif filem Klepet, terbitan bersama komik Under18 dan studio Respected Citizen.

Filem bergenre komikal itu bakal menampilkan pelakon seperti Aedy Ashraf, Nadhir Nasar serta Meerqeen dan dijadualkan menemui penonton hujung tahun ini di bawah arahan Indra Putra. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok