‘Saya pun Sitizoners’

“LAGU kedua saya, Tanpa Dendam Dihati milik Tokti. Saya pun Sitizoners.”

Demikian pengakuan terbuka penyanyi Nadeera yang mendedahkan terlalu meminati Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika mengadakan showcase An Evening With Nadeera, semalam.

Berkongsi lebih lanjut, Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini, 32, mengakui sudah meminati penghibur kesayangan ramai itu sejak kecil.

“Saya memang peminat Datuk Siti sebab ketika usia saya 3 tahun, Cindai adalah lagu pertama keluar dari mulut saya.

“Saya ingat lagi setiap kali dengar lagu Cindai mesti akan berjoget. Biasalah budak-budak,” katanya usai menjayakan showcase terbabit.

Turut memilih lagu Tanpa Dendam Dihati, Nadeera mengakui sangat menyukai bait lirik seleksi tersebut.

“Kenapa saya bawak lagi Tanpa Dendam Dihati, sebab saya suka dengan bait seni kata karya ini.

“Kita hayati lirik, walaupun orang jahat dengan kita, buat apa pun sebelum ini, tapi saya tak ada rasa dendam.

“Biarlah, apa orang nak buat,” ujarnya lagi bagai meluahkan perasaan.

Bagaimanapun, pelantun lagu Emas itu menafikan bahawa lirik dari karya tersebut ada kaitan dengan dirinya.

“Tak ada (kisah sendiri). Tiada yang jahat, semua orang baik,” tuturnya.

Semalam, Nadeera merealisasikan Showcase An Evening With Nadeera yang meriahkan kehadiran 350 penonton di Pusat Pemeran Kesenian Petaling Jaya (PJPAC).

Nadeera menghiburkan penonton dengan 10 buah lagu termasuk beberapa seleksi miliknya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok