TEMPOH 24 tahun berkelana sebagai anak seni bukan satu jangka masa singkat untuk mengukuhkan nama dalam industri.
Segala sepak terajang, onak diri, kontroversi dan sensasi menjatuhkan imej, itu antara ‘pakej’ yang perlu ditelan hampir setiap jiwa bernama selebriti.
Begitu juga dengan penyanyi Azharina. Lebih dua dekad melayari bahtera seni tidak semuanya manis. Ada sahaja sisi gelap dan awan kelabu berarak seiring langkahnya.
Berpeluang menemu bual anak jati Sabah itu, penulis gunakan sebaik-baiknya. Paling terharu, meskipun keadaan kesihatan tidak mengizinkan termasuk retina sebelah matanya koyak, dia tetap hadir memberikan kerjasama penuh.
Hampir satu jam berbual menelusuri banyak cerita, pemilik nama sebenar Azharina Azhar itu cukup ramah berbicara. Setiap patah katanya berisi, jujur dan menusuk ke dasar jiwa.
Banyak kisah bertebaran tentang Juara Bintang RTM 2001 itu, namun jarang kita menyelak sisi peribadi seorang wanita yang sudah 17 tahun hidup sendiri, menjanda tanpa kelibat lelaki di sisi.

HAMPIR dua dekad menjanda, Azharina bukan tidak percaya keindahan perkahwinan, namun mengakui sudah trauma dengan lelaki.
Trauma dengan lelaki
Belum sempat penulis menghabiskan soalan tentang kesendirian kembara hidupnya, wanita berusia 40 tahun itu terus membuka topik penuh luka, trauma terhadap kaum lelaki.
“Saya pernah lalui fasa kahwin cerai. Ketika bersuami, macam-macam saya lalui. Ada manis ada pahit. Untuk bangkit semula, membuka hati kepada hubungan baharu, saya jadi trauma.
Saya sangat takut dan enggan pisang berbuah dua kali. Tapi jodoh dan ajal maut kita tak tahu. Ada yang bernasib baik seperti pasangan rakan artis lain.
“Tapi saya rasa, saya bukan antara yang bertuah dalam bab itu,” katanya kepada HibGlam.
Pelantun lagu Elegi Sepi itu mengambil masa terlalu lama untuk menyembuhkan diri, namun mengakui hingga ke hari ini masih dihantui trauma.
“Secara jujurnya, sangat lama nak sembuhkan diri dan hakikatnya sampai hari ini pun saya masih trauma.
Saya tak boleh percayakan lelaki. Tapi saya cuba untuk kenal seseorang, lagi pun usia sudah 40-an, bukan muda lagi.
“Saya benarkan diri untuk keluar berjumpa, tetapi hanya dengan orang yang benar-benar dipercayai. Saya tak pernah keluar bersendirian kecuali bila yakin keadaan selamat. Kita orang Timur. Walau zaman sudah moden, adat masih kena jaga,” luahnya.

AZHARINA berkongsi pahit getir perjalanan hidupnya sebagai wanita dan anak seni ketika ditemubual wartawan HibGlam, Haikal.
Mesra disapa Nyonya, Azharina tidak menafikan, sememangnya sukar didekati. Bukan kerana sombong sebaliknya pernah terluka teruk sehingga hilang kepercayaan terhadap orang sekeliling.
“Saya belajar daripada kesilapan besar, terlalu percayakan orang terdekat. Ramai cakap memang susah nak rapat dengan Azharina.
Saya percaya ada kawan jumpa di luar, ada kawan boleh sampai depan pagar rumah, ada yang boleh makan di ruang tamu.
“Tetapi hanya satu dua sahaja boleh masuk ke bilik. Itu pengajaran paling besar dalam hidup saya,” jelasnya.
Pernah beberapa kali dikhianati kawan sendiri, ibu kepada dua anak itu tidak lagi membenarkan sebarang bentuk toksik mendekati dirinya.
Ramai kawan makan kawan. Orang sekarang sanggup jual apa saja, termasuk maklumat peribadi demi duit.
“Sebab itu saya jaga ‘circle’ saya. Orang sekeliling saya sekarang, semua sudah bersama lebih lapan tahun, dari pereka fesyen, jurusolek, pembantu peribadi. Saya jaga siapa yang jaga saya,” tegasnya.

PERNAH berdepan situasi terkena ilmu hitam ketika bertanding, Azharina hanya menetapkan hati dan memohon perlindungan daripada Allah.
‘Industri ini kotor’
Sepanjang pertemuan, berulang kali Azharina menyebut, bukan mudah untuk terus berjuang dalam industri yang jarang ‘suci’ apatah lagi ketika pertandingan.
Disebabkan itu, penulis berani mati bertanyakan soalan kepadanya sama ada wujud atau tidak amalan sihir menyihir atau ilmu hitam dalam pertandingan memandangkan anak saudara komposer Zulfekar itu antara artis yang gemar bertanding.
Riak wajah tenang tadinya berubah, juara Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) dan finalis Gegar Vaganza All Stars itu hanya tersenyum dan mengangguk kepala.
“Ya, saya tak nafikan. Memang wujud. Semua orang nak menang, sanggup buat apa sahaja. Dari cara yang nampak, hingga cara ghaib yang kita tak nampak.
Industri seni ini ada sisi kotornya. Ramai tahu tapi tak berani bersuara. Sebab itu orang benci saya. Saya lantang. Saya cakap terus. Kau nak percaya, percaya. Tak nak, sudah,” ujarnya.

INDUSTRI seni ada sisi gelap, Azharina tidak menafikan wujudnya amalan sihir dan ilmu hitam dalam kalangan selebriti terutama ketika pertandingan besar.
Mengakui pernah berdepan hasad sebegitu ketika bertanding, penyanyi bersuara serak basah itu sempat melihat pelbagai jenis jelmaan bahkan suaranya pernah ‘hilang’ secara tiba-tiba sebelum naik ke pentas.
Saya pernah kena sampai suara tak keluar langsung. Tapi saya tak buat apa-apa. Saya sembahyang. Saya minta dengan Allah. Alhamdulillah, tetap menang masa itu.
“Sebab itu saya percaya, bakat kita ini anugerah. Selagi kita jujur, kita menang dengan cara baik, bukan sihir,” luahnya.
Sampai mati
Di sebalik luka dan ujian, satu hal yang tak pernah luntur iaitu cintanya terhadap muzik. Seni adalah jiwa dan nuraninya.
Tahun ini, dia bakal tampil dengan beberapa karya baharu termasuk lagu patriotik, selain kolaborasi bersama penyanyi seperti Idayu, Ayu Damit dan artis Singapura, Nana Karia.
Kami dah dua tahun usahakan projek bersama. Insya-Allah, lagu akan keluar tidak lama lagi. Saya juga akan rakam lagu patriotik sempena Hari Malaysia.
“Selepas 20 tahun, inilah kali pertama saya buat lagu patriotik tentang negeri saya sendiri. Doakan semuanya lancar,” tutupnya. – HIBGLAM