HANYA kerana membuat persembahan beberapa lagu saduran milik komposer Yoni Dores dan memuat naik ke dalam YouTube, penyanyi dangdut terkenal Lesti Kejora berdepan tuduhan berat.
Disangkakan hanya isu kecil, namun perkara tersebut semakin rumit sehingga mengheret namanya ke mahkamah sekali gus meraih perhatian umum.
Pemilik nama lengkap Lestiani didakwa menyanyikan lagu tanpa kebenaran rasmi pemilik hak cipta yang mengakibatkan kerugian Yoni sebagai pencipta lagu.
Lebih mengejutkan, dakwaan pelanggaran tersebut dipercayai telah berlaku sejak tahun 2017 sehingga kini.
Enggan terus menanggung kerugian, pihak Yoni kemudian membuat laporan polis dan menyerahkan kepada peguam meneruskan tindakan lanjut
“Sudah lama, cuma perkara tersebut sampai sekarang masih lagi berlaku.
Kalau kita tak ambil tindakan daripada perkara tersebut, tahun-tahun akan datang perbuatan ini akan terus terjadi,” kata peguam yang mewakili Yoni.
Penjara, denda
Menurut Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Metro Jaya, Senior Asisten Komisioner Ade Ary Syam Indradi laporan tersebut telah diterima dan kini dalam siasatan pegawai penyiasat.
Dalam laporan polis, peguam Yoni turut menyerahkan beberapa bahan bukti antaranya satu peranti USB yang mengandungi rakaman persembahan semula lagu, surat pernyataan daripada penerbit syarikat PT ASKM yang mengesahkan pemilikan hak cipta Yoni serta tangkap layar media sosial yang didakwa melanggar hak cipta.
Jika disabitkan kesalahan, penyanyi berusia 26 tahun itu berkemungkinan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 113 bersama Seksyen 9 Akta Hak Cipta Nombor 28 Tahun 2014.
Hukuman yang bakal dihadapi termasuk penjara maksimum empat tahun dan atau denda sebanyak 1 bilion rupiah bersamaan lebih RM300,000.
Proses undang-undang ini menjadi perhatian besar memandangkan isu pelanggaran hak cipta dalam industri muzik Indonesia kini semakin diberi perhatian dan ditangani secara tegas oleh pihak berkuasa.
Spekulasi
Peguam mewakili Lesti menyatakan bahawa anak guamnya menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
Pihaknya juga sedang meneliti asas laporan yang dikemukakan Yoni.
Dalam masa sama, pihak Lesti menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Ini penting bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh merugikan semua pihak. Mereka juga menekankan kepentingan menunggu maklumat rasmi daripada pihak berkuasa.
Lesti melalui peguamnya menyatakan akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam memberi keterangan jika diperlukan pihak polis.
Mereka berkomitmen untuk mengikuti semua produser undang-undang yang berkuat kuasa sebagai tanggungjawab rakyat yang mematuhi undang-undang. – HIBGLAM