Pelakon Mano Maniam meninggal dunia

PELAKON veteran, Mano Maniam menghembuskan nafas terakhir pada usia 79 tahun, malam tadi.

Berita duka itu disahkan adiknya, Madi Maniam yang memaklumkan punca pemergian mendiang yang tinggal sendirian di rumahnya di Kuala Lumpur masih belum dapat dikenal pasti.

“Kematian berlaku secara tiba-tiba. Mungkin akibat faktor usia, serangan jantung atau angin ahmar.

“Kami masih tidak pasti,” katanya memetik laporan sebuah portal berita.

Madi berkata, walaupun tinggal sendirian, ikatan dengan keluarga cukup erat bahkan mendiang kerap menghubungi keluarga serta anak
saudaranya.

“Beliau menjalani kehidupan penuh makna serta menghargai kebebasannya.

“Beliau juga sentiasa berhubung dengan kami, keluarga, anak saudara dan cucu saudara,” ujarnya.

Mano yang terkenal dengan watak Uncle Chan dalam sitkom Kopitiam yang bersiaran di TV3 antara 1999 hingga 2003 turut aktif sebagai pengarah, jurulatih drama, pelakon suara latar serta penulis.

Selain Mano, sitkom Kopitiam turut menampilkan Douglas Lim, Rashid Salleh, Joanna Bessey, Lina Teoh dan Chew Kin Wah.

Mendiang turut menyerlah di layar perak termasuk dalam filem Mat Gelap, Hikayat Merong Mahawangsa, Sini Ada Hantu, Kolumpo dan Rentap.

Antara kemunculan yang diingati kaki wayang adalah menerusi filem terbitan produksi Hollywood, Anna and the King lakonan Jodie Foster dan Chow Yun-Fat pada 1999. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok