Lilo & Stitch: Empati ‘alien’ mengatasi manusia

DIADAPTASI daripada animasi popular dengan judul sama, Lilo & Stitch yang ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 22 Mei lalu ternyata mempunyai pengikut atau peminat tersendiri.

Masakan tidak, rakan-rakan penulis yang sudah menginjak dewasa juga tidak sabar menonton naskhah arahan Dean Fleischer Camp yang merupakan versi live-action kali ini.

Berpeluang hadir ke tayangan perdana filem berkenaan di GSC Midvalley minggu lalu, telahan awal filem berkenaan tidak akan mengusik emosi ternyata jauh meleset selepas menghabiskan tontonan kira-kira 1 jam 48 minit.

Perjalanan plot Lilo & Stitch memberikan banyak ‘rasa’ kepada penulis. Sebagai seorang anak yatim sedari usia lima tahun, penulis dapat merasai emosi Lilo Pelekai lakonan pelakon cilik Maia Kealoha yang berdepan kejanggalan sosial orang sekeliling.

SINERGI lakonan antara Lilo (Maia) dan Stitch (Chris Sanders) sangat meninggalkan kesan kepada audiens.

Apabila anda kehilangan orang tua seawal usia enam tahun seperti Lilo, segala rutin harian berubah 360 darjah, menjadikan anda seorang manusia yang lebih tabah mendepani segala cabaran mendatang.

Anak yatim

Dari satu sudut yang lain, besar kemungkinan anda mungkin tidak akan menjalani proses pembesaran sama seperti kanak-kanak lain. Hal ini kerana, kasih sayang ibu bapa adalah perkara berharga yang tidak semua orang berpeluang menikmatinya.

Itu berlaku kepada Lilo yang terpaksa tinggal bersama kakak kandungnya, Nani Pelekai (Sydney Elizebeth Agudong). Si kakak pula terpaksa melupakan impian menyambung pelajaran demi membesarkan adik tersayang.

Di situlah makhluk asing persis koala bernama Experiment 626 atau Stitch mengisi segala kekosongan jiwa Lilo. Daripada seekor makhluk yang gemar melakukan kerakusan, menjadi teman baik buat seorang kanak-kanak kesunyian.

Dari segi terjemahan karakter, dua pemain utama iaitu Lilo dan Stitch menjalankan tugasan dengan cukup sempurna.

DIBESARKAN oleh kakak, Lilo sangat merindui orang tuanya dan dihantui perasaan sunyi.

Pelakon cilik Maia Kealoha berjaya menghidungkan karakter animasi Lilo kepada versi live-action dengan jayanya.

Begitu juga karakter Stitch yang dialih suara pelakon Chris Sanders. Tidak ketinggalan watak kakak kepada Lilo iaitu Nani yang diterjemahkan pendatang baharu, Sydney Elizebeth.

Dia sememangnya asal dari Hawaii dan itu menjadi faktor filem berkenaan bersemi indah.

Sinergi Lilo, Stitch

Sinergi lakonan antara Lilo dan Stitch sangat luar biasa. Biarpun sekadar lakonan, babak ketika Stitch cuba menyelamatkan Lilo daripada lemas di laut sangat mengusik jiwa audiens.

Kadang-kadang kita terpaksa berkorban demi sesuatu yang paling disayangi walaupun sedar bahawa pengorbanan dilakukan mampu mengorbankan diri sendiri. Itu dilakukan Stitch buat Lilio dalam satu adegan lantas membuatkan mata penulis berkaca.

WATAK animasi kesayangan ramai Stitch kini beralih ke lensa live-action dan hasilnya tidak langsung menghampakan.

Pemilihan Maia sebagai Lilo sangat bertepatan dengan realiti Lilo & Stitch yang diangkat daripada kisah kartun atau animasi. Lontaran dialog, bahasa tubuh dan tahap kecomelan, penulis tidak melihat pelakon cilik lain yang mampu menterjemah karakter Lilo secermat Maia.

Secara keseluruhannya, Lilo & Stitch bukan sebuah filem adaptasi animasi ke live-action untuk kanak-kanak sahaja. Orang dewasa yang menonton juga mampu mengalirkan air mata dan mendapat pengajaran serupa.

Lilo & Stitch merupakan satu tontonan yang sangat sesuai buat semua golongan terutama kanak-kanak apalagi pada musim cuti persekolahan bersempena Aidiladha yang akan menjelang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok