Ledakan cinta Pablo, digilai wanita Melayu

MASIH ‘mengganas’ dan meneruskan kutipan sehingga ke hari-hari terakhir di pawagam, begitulah kejayaan filem Blood Brothers: Bara Naga ketika ini.

Bukan hanya jalan cerita, pemilihan barisan pelakon filem tersebut boleh dikatakan antara strategi terbaik sehingga berjaya meraih kutipan hampir RM80 juta selepas 33 hari tayangan.

Tolak tepi nama seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Shukri Yahaya, siapa sangka filem tersebut turut berjaya meledakkan nama Andy Teh, 40, dalam kalangan peminat filem Melayu tempatan.

Dia bukanlah pendatang baharu tetapi penangan yang ditinggalkan menerusi watak Pablo memukau mata banyak pihak dengan kehebatan babak aksi yang turut bikin ramai wanita jatuh cinta!

Ledakan populariti yang dirasai Andy ketika ini ibarat hadiah istimewa buat diri sendiri yang sudah sedekad cuba memahat nama dalam industri.

“Perjalanan saya sebagai anak seni untuk berada di posisi sekarang tidaklah seindah disangka. Saya akui sebelum ini kurang dikenali ramai.

Pada awalnya kami tidak meletak sebarang harapan tinggi untuk Blood Brothers apatah lagi watak Pablo tetapi kuasa Tuhan, hasilnya luar biasa,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

MENGAKUI dilanda sedikit kejutan budaya dengan sambutan dan perhatian ramai impak watak Pablo, Andy kini semakij bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku dalam karier lakonannya. – Elmanda Zuhairy

Melihat kegilaan ramai terhadap watak Pablo, Andy terkejut dengan sambutan diterima ketika ini.

Masakan tidak, Pablo bukan tunjang utama dalam filem tersebut tetapi respons positif yang diterimanya setara dengan watak Ghaz lakonan Sharnaaz dan Fadlan (Shukri).

Peminat naik ‘gila’

“Peminat memang lain macam. Mereka sanggup sunting video ‘sweet’ karakter Pablo malah ada yang mencari saya sampai menghantar e-mel sebab komen mereka dalam platform lain tidak berbalas.

“Awalnya saya agak ‘culture shock’ dengan populariti ini tetapi lama-kelamaan rasa seronok sebab hasil kerja dihargai.

Paling lucu ada peminat membuat suntingan foto seperti bertanya kepada seorang pendakwah dengan ayat ‘apa hukumnya minat Pablo?’ Saya memang terhibur melihat gelagat sebegitu terutama peminat wanita,” ujarnya.

Bercerita lanjut, anak kelahiran Klang, Selangor itu tidak terlepas daripada menerima kecaman susulan watak antagonis berkenaan, namun semuanya berubah menjadi ‘plot twist’ dalam sekelip mata.

“Selepas tiga hari tayangan, saya sudah bersedia untuk terima banyak kecaman daripada penonton termasuk yang melabel Pablo sebagai pengkhianat dan ‘anjing’.

Paling terkejut semua komen negatif berubah menjadi positif selepas hari keempat. Ada komen berbunyi, bencilah dia pengkhianat tetapi nasib baik Pablo kacak!.

“Selepas seminggu, tiada lagi perkataan pengkhianat, semuanya bertukar kepada cinta. Antara komen paling saya terhibur ialah ‘ini Cina atau cinta?’ dan ‘Pablo, lelaki Cina kami percaya,” kongsinya yang terhibur membaca komen-komen peminat.

SEBAGAI atlet sukan MMA profesional yang mahir seni bela diri seperti taekwondo, Andy mahu menggunakan kelebihan tersebut bagi meluaskan pengaruhnya sebagai pelakon. – Elmanda Zuhairy/ SVG Worldwide (Instagram
@svgwrldwide)

Terharu melihat sokongan ramai, Andy bagaimanapun tetap menerapkan dalam diri agar sentiasa menjaga batas, terutama dengan peminat wanita beragama Islam.

Memang seronok melayan dan melihat gelagat peminat tetapi saya tetap menjaga batas.

“Saya orang Cina (batasan) tetapi untuk agama lain, khususnya Islam tak boleh, jadi saya usaha menjaga batas itu dengan tidak bersentuhan dan sebagainya,” jelasnya Andy yang sebelum ini pernah muncul dalam filem Sangkar.

Rendah diri

Enggan tamak apatah lagi mendabik dada dengan populariti yang diraih kini, Andy bertegas masih individu sama dan mahu terus menyumbang kehangatan buat buat industri seni tanah air.

Ini rezeki, syukur. Saya tak pernah lalui fenomena begini walaupun sudah berbelas tahun berlakon.

“Namun, saya akan berusaha untuk terus membumi dan memastikan kaki kekal berpijak di bumi agar tidak melayang dengan populariti mahupun pujian,” tambahnya.

Sempat diusik sama ada timbul kerisauan dalam diri sekiranya tawaran karakter dalam mana-mana naskhah selepas ini gagal menandingi impak Pablo, tidak pernah perkara tersebut terlintas dalam benak fikirannya.

Tiada istilah risau sekiranya watak seterusnya ‘flop’ sebab saya sudah bertahun-tahun melalui zaman jadi pelakon ekstra.

“Saya sentiasa bersedia untuk apa sahaja kemungkinan sebab sudah berikan sepenuh jiwa. Jalani sahaja semuanya,” kata pemilik akademi seni mempertahankan diri, Elitez MMA itu.


Cina

Ditanya perkara paling sukar pernah dilalui, terutama sebagai pelakon berbangsa Cina yang bertapak dalam industri hiburan Melayu, Andy berkata, tiada kerja mudah untuk meraih kesenangan.

“Kerja apa pun ada kepayahan sendiri tetapi untuk saya, sentiasa fokus dengan kelebihan sendiri. Tak perlu nak main sentimen bangsa atau agama.

Kalau saya, mungkin ada kelebihan dalam seni mempertahankan diri dan mampu lakukan aksi lagak ngeri sendiri. Jadi, guna kelebihan itu untuk merebut peluang yang hadir.

“Kemudian jangan malu pergi uji bakat dan berkenalan dengan ramai orang terutama produser atau penggiat seni sebab siapa tahu ada rezeki yang akan ‘melekat’ dengan kita ketika itu,” jelasnya.

Pernah mengeluarkan kenyataan mempunyai tanggungjawab besar untuk menarik lebih ramai kaum Cina menonton filem Melayu, Andy mengakui perkara tersebut mengambil masa tetapi usaha yang kecil mampu meninggalkan impak besar satu hari nanti.

Dalam masa sama, dia berharap filem lakonannya Abah Saya Uncle Mike yang dijangka ditayang pada Ogos depan mampu menyatukan pelbagai bangsa di pawagam.

“Sebab itu saya harap filem Abah Saya Uncle Mike dapat pergi jauh sebab sarat elemen kepelbagaian budaya dan agama. Sangat harmoni.

Buat masa ini, memang masih wujud kelemahan dalam industri seni tempatan tetapi saya kagum sebab banyak rumah produksi sudah buka peluang kepada pelakon bukan Melayu,.

‘Itu bagus untuk tarik penonton dari pasaran lain,” katanya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok