Kejutan Barbarik, 4 gitaris sepentas

BAND Barbarik bakal bikin kejutan dengan menampilkan empat gitaris popular, Shah Slam, Ujang Tukimon, Muzza dan Karl Cromok dalam konsert Pentas Peluru Cokelat di Zepp Kuala Lumpur pada 28 Jun ini.

Gitaris Barbarik, JoBranko atau nama lengkapnya, Abdul Zamin Abdul Kadir, 56, mengakui tiada sebarang kesulitan untuk bekerjasama dengan pemain gitar lain kerana mereka mempunyai kepakaran dan keunikkan tersendiri.

“Saya bersyukur kerana mereka semua tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju apabila ditawarkan terlibat dalam konsert ini.

“Bukan sahaja peminat, malah saya sendiri teruja untuk sepentas dengan rakan-rakan gitaris lain dalam segmen Retro Akustika.

“Lagu apa yang akan kami dendangkan dalam segmen tersebut saya tidak boleh dedahkan, tapi yang pasti peminat akan terhibur,” katanya pada sidang media Konsert Barbarik, Pentas Peluru Cokelat, baru-baru ini.

Dalam masa sama, gitaris terbabit menolak untuk menambah hari konsert andai penjualan tiket mendapat sambutan seperti mana konsert GenKRU.

“Tidak boleh sama Berbarik dengan penyanyi lain kerana kami sebagai sebuah band rock muzik kami tidak mudah.

“Jika memang pada asalnya ingin mengadakan konsert dua atau tiga hari berturut-turut kerana latihan juga berbeza daripada apa yang kami buat sekarang.

“Cuma saya tidak suka buat perkara serupa berulang kali selain yang dijangkakan penonton. Elemen kejutan sudah hilang, jadi lebih baik kekal sehari sahaja,” ujarnya.

Konsert Pentas Peluru Cokelat dibawakan Karri Talk Production selaku penganjur bersama Pentas Barbarik Sdn. Bhd.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket berharga RM150, RM280, RM380 dan RM8,000, boleh layari laman web, ilassotickets.com. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok