‘Ikut suami belajar datang daripada nenek, bukan saya’

HANYA salah faham, penyanyi Syasya Rizal menafikan dakwaan berkenaan alasan berundur daripada kumpulan Dolla adalah disebabkan mahu mengikut suami menyambung pengajian di luar negara.

Syasya atau Nursyasya Afiqah Shahrizal, 24, berkata, kenyataan tersebut bukan keluar dari mulutnya, tetapi daripada neneknya, Rozie Othman ketika menjawab soalan media berhubung tindakannya meninggalkan Dolla.

“Sejujurnya saya sendiri tak pernah cakap macam itu pun. Cerita tentang ‘belajar di luar negara’ itu sebenarnya datang daripada nenek.

Masa itu dia agak gementar dan saya memang faham situasi dilaluinya,” katanya menerusi perkongsian di laman X.

Menurut ibu kepada seorang anak itu, sebagai cucu dia menghargai keprihatinan insan kesayangan yang mahu melindunginya.

“Dia hanya cakap apa dia rasa terbaik pada ketika itu dan saya akan sentiasa sayang dia kerana cuba lindungi saya,” ujarnya.

Terdahulu, Syasya memberikan maklum balas mengenai spekulasi ke luar negara selepas seorang peminat bertanyakan perkembangan perancangan tersebut.

Malah, katanya perkara yang diperkatakan langsung tidak pernah disentuh apatah lagi mengesahkan kenyataan berkenaan.

“Tapi untuk menjelaskan perkara ini, saya sendiri tak pernah sebut apa-apa pun tentang nak sambung belajar di luar negara.

Tak pernah dalam apa-apa kenyataan rasmi atau temu bual. Kalau nak semak, silakan,” tambahnya.

Menerusi ciapan sama, Syasya turut memaklumkan kembali aktif di arena nyanyian sambil menyesuaikan diri dengan fasa sebagai ibu muda.

“Saya masih menyanyi, masih berkongsi, masih belajar, dan masih terus berkembang sebagai seorang isteri, seorang ibu, dan seorang wanita dengan impian besar. Insha-Allah,” katanya.

Sekitar April 2024 penyanyi itu mengejutkan ramai apabila mengumumkan mengundurkan diri daripada Dolla yang ketika itu mengecap kegemilangan.

Kemudian dia berkongsi pula berita sah bergelar isteri kepada lelaki pilihan, Nasrullah pada 20 April tahun yang sama.

Pasangan terbabit dikurniakan cahaya mata lelaki pada 23 Disember 2024 yang diberikan nama Muhammad Yassir Hayyan. HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok