DALAM industri K-pop yang pesat berkembang, tiada jaminan untuk kekal berada di puncak.
Populariti bukan tiket mutlak, ada masanya nama yang gah pudar perlahan-lahan. Apatah lagi dengan kemunculan ramai bintang baharu.
Pernah menjadi bintang pujaan ramai, disanjung dan dipuja seantero Asia, mereka hilang dalam diam.
Bukan kerana tidak berbakat, tetapi mungkin atas faktor keputusan peribadi, kontroversi atau tidak lagi mampu menyaingi derasnya gelombang baharu K-pop.
Bersilih ganti wajah segar yang mencuri perhatian, ramai mula terlupa kewujudah bintang lama. Namun, buat peminat tegar nama-nama yang kian sepi itu tetap hidup dan kekal dalam hati.
Berikut adalah lima idola K-pop yang suatu ketika dahulu menjadi sebutan tetapi kini menghilang tanpa khabar pasti.
Kangin
Sebagai ahli kumpulan legenda Super Junior, Kangin pernah menjadi kegilaan ramai gadis suatu ketika dahulu.
Jejaka berusia 40 tahun itu ada pakej lengkap sebagai idola apabila bukan sahaja berbakat tetapi memilik wajah tampan dan bertubuh sasa.
Namun, siri kontroversi membabitkan isu undang-undang, pergaduhan dan pemanduan dalam keadaan mabuk menghancurkan imejnya.
Sokongan terhadapnya makin berkurang dan akhirnya dia memutuskan meninggalkan kumpulan kesayangannya.
Sejak itu, Kangin mula menyepi. Tiada projek hiburan dan tidak muncul dalam mana-mana media.
Hanya ada beberapa kemas kini peribadi dalam media sosial sebagai tanda dirinya masih wujud.
Lee Joon
Pernah dianggap antara idola serba boleh, Lee Joon mencuri perhatian bukan sahaja kerana bakat menari dan menyanyi, tetapi juga karisma luar biasa di pentas.
Berkat kesungguhannya dan ahli kumpulan, MBLAQ menjadi fenomena sekelip mata dengan lagu Mona Lisa dan This Is War.
Namun, saat berada di puncak, idola berusia 37 tahun itu mengejutkan ramai apabila memutuskan untuk meninggalkan MBLAQ kerana mahu fokus bidang lakonan.
Ramai menyangka itu langkah bijak memandangkan dia mempunyai pakej lengkap, namun malangnya kerjaya lakonannya tidak sehebat yang dibayangkan.
Beberapa tahun selepas itu, namanya semakin senyap. Meski muncul dalam beberapa drama, auranya tidak lagi memukau sehingga peminat melabelnya bintang yang sudah hilang seri.
Jessica Jung
MEMILIKI suara unik dan aura memukau, Jessica Jung pernah menjadi nadi utama kumpulan Girls’ Generation (SNSD).
Mana tidaknya, setiap kali idola jelita itu berdiri di tengah pentas, dia persis ratu yang cukup elegan dan bergaya.
Namun badai melanda, konflik dalaman menyebabkan wanita berusia 36 tahun itu tersingkir daripada SNSD.
Dia kemudian menubuhkan jenama fesyen sendiri dan memulakan kerjaya solo bahkan pada awal langkahnya meyakinkan.
Masa bergulir, populariti penyanyi tinggi lampai itu kian malap.
Album solo kurang mendapat sambutan, perniagaan fesyen pula kurang menjadi sekali gus menyebabkan khalayak mula melupakan namanya yang dahulu begitu gah.
Kim Sung-kyu
Sebagai vokalis utama kumpulan Infinite, suara Kim Sung-kyu menjadi pelengkap setiap karya hebat mereka.
Lebih hebat, lagu The Chaser dan Paradise memahat nama kumpulan itu dalam sejarah K-pop.
Bagaimanapun, selepas tamat kontrak bersama agensi, idola berusia 36 tahun itu kian tenggelam dan kemilaunya mula malap.
Bukan tidak memasang strategi malah jejaka tampan itu pernah muncul seketika sebagai penyanyi solo tetapi projek tersebut kurang mendapat perhatian media.
Berbanding rakan seangkatan, kelibat Sung-kyu semakin jarang kelihatan. Tiada kontroversi besar, tiada isu panas, hanya hilang perlahan-lahan begitu sahaja. – HIBGLAM