‘Di mana ada kemahuan, di situ ada Syed Saddiq’

TERUS menggamit perhatian, pasangan sensasi Bella Astillah dan Syed Saddiq memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan dengan berkongsi aksi mereka membawakan tarian tradisional pelbagai kaum di Sabah.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, berkata biarpun tidak sempurna, kolaborasi itu menyeronokkan apabila berbekalkan semangat berikutan rakaman berlangsung seawal pagi sehingga ke malam.

“Terima kasih YB Syed Saddiq, teruja dengan kesungguhan dan keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru. Itu yang membuatkan momen ini istimewa.

“Tapi sekurang-kurangnya dia menari dengan sepenuh hati (walaupun off beat tapi cute gila). Saya bawa lenggok, dia bawa semangat dan kecomelan.

Selamat menyambut pesta menuai dengan penuh kegembiraan, makan sedap dan tarian tradisional yang siuk (syok),” katanya dalam perkongsian Instagram.

Dalam rakaman tersebut, penyanyi bersama Ahli Parlimen Muar itu menari tarian tradisional masyarakat Iban, Ngajat disusuli, Rejang Beuh (Bidayuh), Sumazau (Kadazan) dan Kuda Pasu (Bajau Samah).

Kedua-duanya berbusana tradisi lengkap malah tampak bersungguh-sungguh menari mengikut rentak terutama Syed Saddiq.

Begitupun, dalam ruangan komen ahli politik berusia 32 tahun itu secara berseloroh menyifatkan menari bukan kepakarannya.

Tak tahu nak ketawa atau menangis bila tengok semula (rakaman). Tidak mengapa, izinkan saya fokus pada parlimen sahaja,” tulisnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut serta rakan selebriti terhibur dengan persembahan mereka terutama melihat gelagat Syed Saddiq yang kelihatan cuak.

“Salute kat YB. Kalau kami kena buat belum tentu sukses tarian itu,” kata netizen.

“YB nampak nervous (gemuruh) sangat. Di mana ada kemahuan, di situ ada Syed Saddiq,” tulis pengikut lain.

Fenomena gandingan antara Bella Astillah-Syed Saddiq sehingga disebut sebagai BASS masih lagi menjadi perbualan ramai dalam media sosial termasuk sehingga ke Korea Selatan.

Biarpun tidak memberi jawapan pasti atau mengesahkan bercinta, keluarga kedua-dua personaliti popular itu memberikan restu andai gosip membabitkan mereka benar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok