6 kumpulan nasyid fenomena kegilaan milenial

TIADA siapa dapat menafikan sumbangan nasyid terhadap kemajuan seni muzik tanah air.

Nama-nama legenda seperti Raihan, Rabbani dan bahkan, kumpulan nasyid wanita asal Singapura, Al Jawaher masih menjadi sebutan ramai hingga sekarang.

Buat penulis yang tergolong dalam generasi milenial atau Gen Y sangat terhutang budi pada jenama-jenama nasyid yang disebutkan pada perenggan di atas.

Disebabkan mereka, urusan menghafal segala surah-surah lazim al-Quran menjadi mudah dan sekali gus mendekatkan diri kepada agama atas nama seni muzik nasyid kontemporari.

Baru-baru ini, kumpulan Inteam yang cukup dikenali menerusi lagu Nur Kasih mengumumkan bakal mengadakan konsert.

Menyemarakkan fenomena penuh nostalgia nasyid tempatan, HibGlam kali ini merangkumkan antara jenama nasyid popular digilai ramai lewat 1990-an hingga era 2000-an.

MIRWANA (Tahun aktif: 1991-2004)

Sejarah kumpulan Mirwana panjang, namun hanya ketika generasi kelima yang dianggotai Faizal Tahir nama mereka menembusi pasaran arus perdana. Anggota generasi pertama terdiri daripada bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Kajang, Selangor.

Cukup dikenali menerusi lagu fenomena Aku Tanpa Cintamu, Faizal menyertai Mirwana ketika menuntut di UiTM Shah Alam. Kemudian pada tahun 2005, dia terpaksa meninggalkan Mirwana atas sebab peribadi dan meluncurkan karier solo.

NOWSEEHEART (Tahun aktif: 1996)


Popular dengan lagu Damai Yang Hilang, NowSeeHeart bermula sebagai sebuah kumpulan nasyid sekolah di Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur.

Kumpulan 13 orang pelajar ini pada mulanya menggelarkan diri mereka Suara SMAKL. Setelah melanjutkan pelajaran ke menara gading, mereka bergerak dengan nama Anugerah.

Apabila diangkat menjadi artis rakaman Warner Music, hanya enam orang yang tinggal dan mereka mengambil nama NowSeeHeart.

BROTHERS (Tahun aktif: 1995)

Kumpulan ini dianggotai bekas pelajar SMKA Maahad Hamidiah Kajang. Mereka cukup popular dengan lagu Teman Sejati dan Lagu Kedamaian menjadikan muzik mereka sebagai salah satu cara untuk memberi panduan kepada pendengar tentang keindahan dan kebesaran agama Islam di samping membawa mesej-mesej murni.

Anggota yang berjaya menempah nama dalam seni muzik tanah air ialah Yasin yang kini berjaya sebagai penyanyi solo dan komposer lagu.

Yasin juga merupakan pengasas sebuah lagi kumpulan nasyid tersohor Mirwana pada tahun 1991, tetapi setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia, dia undur diri dan menganggotai Brothers.

HIJJAZ (Tahun aktif: 1997)

Hijjaz ditubuhkan pada 10 Januari 1997, namun sebelum itu, mereka pernah menganggotai kumpulan NadaMurni selama lebih 10 tahun.

Sehingga kini, Hijjaz dikenali dengan lagu popular mereka seperti Sumayyah, Asmaul Husna, Rasulullah, Fatamorgana dan banyak lagi.

Gaya penampilan yang eksklusif, Hijjaz mudah dikenali melalui pemakaian kopiah bercorak seperti mahkota. Menerusi syarikat Hijjaz Music Entertainment, mereka melahirkan kumpulan nasyid yang lain termasuklah Inteam, UNIC, Ae-man dan Mestica.

SAUJANA (Tahun aktif: 1997)

Saujana mencipta gelombang muzik nasyid tersendiri terutama selepas meluncurkan album pertama pada 1997 yang memuatkan hit sepanjang zaman berjudul Sepohon Kayu.

Dahulunya, anggota asal Saujana terdiri daripada Mohammad Suffian Amrin, Azalinor Abdul Rahman, Dr. Faizul Hizal Ghazali, Dr. Khairul Idzwan (Idzu) Baharin dan Mohd Hakimi Harun.

Selain Sepohon Kayu, mereka juga mencipta fenomena menerusi lagu Keluarga Bahagia yang masih menjadi siulan sehingga sekarang.

UNIC (Tahun aktif: 2002-kini)

Buat milenial yang berada di bangku sekolah atau menara gading sekitar awal 2000-an, UNIC adalah satu jenama besar ketika itu.

Album pertama mereka berjudul You And I See dikeluarkan pada 2002 mencatatkan jualan melebihi 40,000 unit di seluruh Malaysia.

Berdasarkan sambutan yang diberikan peminat nasyid, sehingga kini UNIC telah bertahan selama 20 tahun dalam persada seni dan berjaya menerbitkan lapan buah album studio dan enam album kompilasi. Lagu Hanya Tuhan Yang Tahu masih kekal menjadi siulan peminat sehingga kini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok