‘Tahniah sayang, akhirnya awak tiba di Madinah’

PELAKON Amyra Rosli kini boleh menarik nafas lega apabila kembara #journeytoTanahHaram suaminya, Amar Baharin bersama pendaki, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin berakhir dengan selamat di Madinah, Arab Saudi semalam.

Menurut Amyra, 35, dia sangat berbangga dengan kejayaan suaminya dan berharap misi tersebut meninggalkan impak positif terhadap Amar yang sudah mengayuh basikal serta menempuh pelbagai cabaran sejauh 8,000 kilometer.

“Tahniah sayang! Akhirnya awak berjaya tiba di Madinah. Alhamdulillah sangat bangga.

Saya harap kembara ini meninggalkan satu memori dan makna yang besar untuk awak serta Qobin.

“Semoga awak dapat pulang sebagai individu yang lebih baik dan tenang serta terus kekal istiqamah, insya-Allah,” katanya dalam Instagram.

Dalam masa sama, hos program Nona itu menzahirkan jutaan penghargaan kepada orang ramai yang sentiasa mendoakan keselamatan suaminya dan Qobin sepanjang melaksanakan misi mereka.

Dia bahkan mengakui terlalu merindui Amar yang lebih sebulan berjauhan dengan keluarga bagi melengkapkan misi tersebut.

“Kepada semua pihak termasuk ahli keluarga, rakan-rakan, media dan sesiapa sahaja yang menyokong serta mendoakan perjalanan mereka, terima kasih kerana semua itu sangat bermakna untuk kami semua.

Akhirnya misi #journeytoTanahHaram berakhir dengan indah sekali. Sangat bersyukur dan lega.

“Balik segera okey, saya sangat rindu dan tak sabar untuk peluk awak,” katanya lagi.

Semalam, Amar dan Qobin selamat tiba di Madinah, Arab Saudi sekitar pukul 3 petang (waktu tempatan) sekali gus menamatkan misi #JourneyToTanahHaram yang dijayakan mereka berdua sejak sebulan lalu.

Amar atau Amar Mohd Baharin, 40, berkata, dia tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja tiba di bumi Madinah.

Dia juga dijangka pulang ke tanah air sehari sebelum hari raya Aidiladha pada minggu depan.

Terdahulu, misi kayuhan dilepaskan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu bermula di Padang Besar, Perlis pada 27 April lalu merentasi empat negara iaitu Thailand, Iran, UAE dan Arab Saudi serta mengambil masa 33 hari. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok