DIPUJI menyumbangkan bayaran diterima semasa menjadi tetamu sebuah acara, pelawak Zizan Razak mengakui mendapatkan pandangan agamawan sebelum menguar-uarkan perbuatan baik tersebut.
Dalam masa sama, Zizan atau nama penuhnya Mohamad Razizan Abd. Razak, 41, percaya rezeki yang diperoleh harus dikongsikan dengan orang lain.
“Saya dah tanya ustaz, dia kata perbuatan itu dapat memberi iktibar kepada orang lain supaya mereka berminat untuk buat perkara sama.
Bila ustaz cakap begitu, saya niat melakukan sumbangan kerana Allah. Setiap rezeki yang kita dapat, tidak semestinya untuk kita sahaja.
“Apa yang terbaik kita memberi untuk buat amal soleh sebab tidak tahu bila kita mati dan amalan cukup atau tidak atas muka bumi ini,” katanya kepada HibGlam semasa majlis memperkenalkan duta G-Shock, kelmarin.
Tidak hanya itu, pelakon filem Polis Evo 3 itu turut memaklumkan amalan bersedekah juga membentuk dirinya agar lebih menjaga tingkah laku serta menjadi lebih matang.
“Salah satu benda yang saya takut adalah apabila orang tengok saya baik. Saya pun manusia biasa, tak lari daripada buat dosa.
Kadang-kadang benda yang kita buat ini mengingatkan diri kita pernah melakukan perkara tak elok. Proses kematangan itu ada.
“Adakala kita tak sedar pergi tempat tak baik, tercakap atau terkongsi benda tak elok. Orang buat silap dalam media sosial, kita gatal nak beritahu orang lain. Bila teringat (amalan sedekah), terdetik dalam hati tak baik buat begitu,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Zizan percaya rakan artis lain lebih banyak bersedekah berbanding dirinya.
Mungkin artis lain buat lebih besar. Macam Daiyan Trisha dia menyumbang RM250,000 untuk Palestin. Kita jangan pandang luaran.
“Memang tak pakai tudung tidak okey dari pandangan Islam tetapi tak semestinya mereka tidak baik sebab pengakhiran dan pengiraan pahala hanya Allah saja yang tahu,” jelasnya.
Sebelum ini, Zizan yang menjadi tetamu Forum Dialog Anak Muda di Festival Makar Fest 2.0 menyerahkan bayaran diterimanya kepada Persatuan Kebajikan Fisabilillah Terengganu.
Tindakan spontan anak jati Terengganu terbabit disambut rasa syukur seluruh penonton apabila secara tidak langsung mengajak insan lain berbuat baik sesama insan.
Bagaimanapun, Zizan enggan mendedahkan jumlah sedekah yang diberikan selain memaklumkan amalan tersebut bukan pertama kali dilakukan. – HIBGLAM