PELAKON Amerul Affendi tidak pernah berkecil hati kerap ditawarkan watak antagonis dalam drama atau filem lakonannya sebelum ini.
Amerul atau nama penuhnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 39, berkata, karakter sebegitu tidak seharusnya dipanjang negatif kerana mampu memberi impak positif terhadap pelakon itu sendiri.
Saya tak kecil hati dan rasa seronok juga sebab karakter antagonis mengajar supaya tidak menjadi seperti watak yang saya jayakan itu.
“Watak sebegitu mengingatkan dan memanusiakan saya agar jangan jadi seperti mereka,” katanya dalam satu temu bual podcast baru-baru ini.
Berkongsi watak idamannya, Amerul mengakui teringin menjayakan naskhah bergenre romantis.
Saya nak ‘love story’. Tak pernah berlakon bercinta, asyik jadi orang jahat menghalang cinta orang lain
“Sebenarnya saya tak letak harapan tinggi, bercinta dengan hantu pun okey,” tutur bintang drama Bru itu.
Dalam perkongsian lain, bintang filem 6 Jilake itu berpendapat bidang seni tidak boleh dijadikan kerjaya tetap dan perlu mempunyai kerjaya sampingan lain.
Dia juga mengakui memilih untuk menjadikan kerjaya lakonan sebagai hobi selepas melihat banyak kisah sedih membabitkan pelakon veteran hari ini.
“Lakonan sekadar hobi dan bukan tempat untuk cari makan. Itu yang saya nampak industri di Malaysia sebab ramai pelakon veteran kita di usia tua mereka sangat menyedihkan.
Jadi perkara itu buat saya rasa benda ini tak boleh dijadikan kerjaya, harus ada benda lain yang ‘backup’ dan bersedia untuk pencen.
“Industri ini tak menjamin masa depan,” katanya lagi kepada pengarah dan penerbit Erma Fatima yang mengendalikan podcast tersebut. – HIBGLAM