DUA tahun menjalin hubungan, pelakon Ben Amir akhirnya mengakui kini hatinya kini milik seorang wanita Filipina.
Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 35, bagaimanapun berkata, semuanya masih dalam peringkat awal dan enggan terburu-buru membuat keputusan ke fasa seterusnya iaitu perkahwinan.
“Kami masih dalam fasa berkenalan, kenal hati budi. Kami sudah mengenali antara satu sama lain dalam dua tahun.
Mana-mana lelaki pun sudah tentu mahu menjalin hubungan ke jenjang pelamin tetapi tidaklah perlu terburu-buru.
“Saya menyerahkan semuanya kepada takdir. Buat masa ini saya hanya ‘go with the flow’ ,”katanya kepada HibGlam.
Menepis dakwaan kononnya penghijrahannya ke Filipina berpunca daripada wanita tersebut, pelakon Rebel itu sebaliknya berkata, hasrat meninggalkan Malaysia sudah lama dipendam kerana ingin mencabar diri membina kehidupan berbeza.
“Saya tak suka orang membuat spekulasi tentang perkara tidak benar. Kalau nak tahu cerita sebenar biar daripada mulut saya sendiri.
Saya memang sudah lama merancang untuk berhijrah ke Filipina. Bukan sebab sesiapa tetapi ingin mencari kehidupan baru.
“Sebagai lelaki memang perlu sentiasa memperbaiki diri daripada segi kerjaya dan mental,” ujarnya.
Tambah Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular ke-34 (ABP34) itu, keputusan berpindah ke Pulau Siargao sejak April lalu bukan dibuat secara impulsif, sebaliknya disusuli dengan perancangan teliti termasuk membina empayar perniagaan sendiri.
“Keputusan berhijrah ini adalah satu langkah berani untuk ‘upgrade’ diri. Saya suka cabaran.
Saya kini sedang rancang buka restoran dan villa di sana. Bukan mudah ya, lebih-lebih lagi di negara orang.
“Saya mahu bina kerjaya baharu selain daripada berlakon. Kalau boleh saya mahu jadi ahli perniagaan pula,” jelasnya pada majlis tayangan perdana filem Gantung: Musketeer Code di sini hari ini.
Ben bakal tampil dalam filem aksi-thriller Gantung: Musketeer Code, adaptasi daripada novel popular nukilan Nadia Khan yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 5 Jun ini.
Filem terbitan Bookmark dan Primeworks Studios itu turut menampilkan Ikmal Amry, Hafreez Adam, Brandon Salim, Shazia Rozaini serta Taufiq Hanafi. – HIBGLAM