PERHUBUNGAN toksik tidak kira penderaan dari segi fizikal mahupun mental merupakan satu situasi menakutkan yang tidak seharusnya membelenggu keharmonian hidup dalam mana-mana rumah tangga atau pasangan bercinta.
Terperangkap dalam perhubungan tanpa toleransi kedua-dua pihak, tekanan lisan atau fizikal semuanya sukar untuk diperbaiki. Situasi sama juga pernah dilalui pelakon Ezzanie Jasny dalam tempoh yang panjang.
Sepanjang berada dalam hubungan itu, Ezzanie mengakui bernasib baik mempunyai rakan-rakan yang menjadi pendengar setia masalahnya.
Selepas lama terseksa, Ezzanie atau nama sebenarnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny akhirnya berjaya keluar daripada situasi toksik tersebut.
“Pernah dalam jangka masa agak lama. Cara mengatasinya adalah dengan mengakhiri perhubungan tersebut dengan baik.
Tetapi masa saya dalam situasi itu selama beberapa tahun, saya jadi macam Nuha (karakter dalam naskhah Dia Bukan Syurga yang kini hangat ditayangkan). Saya ada sindrom berasakan si dia akan berubah, bagi dia masa.
“Perempuan bila sudah lama dalam situasi sebegitu dia jadi pandai. Dia akan buat keputusan untuk meninggalkan hubungan itu,” kata si cantik berusia 26 tahun itu.

ENGGAN pisang berbuah dua kali, Ezzanie Jasny kini mahu fokus kepada diri sendiri sebelum benar-benar terbuka menerima lelaki baharu sebagai kekasih.
Ditanya mengapa pernah memilih untuk kekal setia walaupun terseksa, anak bongsu daripada empat beradik itu percaya bekas kekasihnya mampu berubah tetapi usahanya gagal sehingga terpaksa berpisah.
“Sayang dan rasa boleh baiki dia secara perlahan-lahan.
Namun, perkara itu tidak berlaku dan tidak berhasil. Jadi saya ambil keputusan untuk mengucapkan selamat tinggal,” ujarnya.
Dera mental
Berkongsi lanjut, Ezzanie mendedahkan bekas kekasihnya tidak pernah memberi tekanan secara fizikal tetapi lebih kepada emosinya.
Hubungan toksik saya hanya penderaan mental.
“Rasa stres dan banyak bermain dengan otak. Namun, penderaan dari segi fizikal tiada,” tuturnya.
Pada masa sama, pelakon drama Layang-Layang Perkahwinan itu enggan terburu-buru kembali menjalin cinta kerana mahu memberi masa buat diri sendiri.
“Untuk waktu sekarang, saya tidak cakap trauma tetapi rasa malas dan nantilah dulu. Bagilah masa.
Mungkin dari luaran, saya nampak okey tetapi secara dalaman masih belum betul-betul pulih.
“Takut nanti ada hubungan baru akan jadi rebound (alih perhatian daripada kesedihan). Sabar sekejap dan bagi saya betul-betul okey dahulu,” ujarnya lagi.

EZZANIE kini menyerlah dengan karakter Nuha, wanita teraniaya dalam naskhah Dia Bukan Syurga.
Dia Bukan Syurga
Pengalaman berada dalam hubungan toksik sebelum ni sedikit sebanyak dapat dijadikan rujukan dalam drama terbaharunya berjudul Dia Bukan Syurga arahan Rashid Sibir.
Ezzanie yang memegang watak Nuha faham tindakan karakternya yang masih kekal setia dalam perhubungan atas dasar cinta.
Nuha stay sebab dia sayang Tajul. Selama dua tahun bercinta tiada masalah dan dia faham bila nak teruskan kebaikan iaitu ke peringkat seterusnya (kahwin), sayang itu rasa makin kuat.
“Mungkin di situ timbul rasa insecure untuk Tajul. Nuha pula sayangkan Tajul sebab orangnya romantik dan baik.
“Lepas nak teruskan hubungan ke peringkat seterusnya, ada red flags. Waktu baik, dia macam lelaki kiriman Tuhan,” jelasnya.
Menurutnya, watak tersebut diterima kerana mahu mencabar diri memegang pelbagai karakter sebagai pelakon baharu.
Sebelum ini ada yang tanya watak bagaimana saya mahu bawakan. Saya sukakan kepelbagaian dan tidak mahu dilihat stereotaip dalam lakonan.
“Bila saya dapat tahu watak Nuha ini ada penderaan fizikal, saya terus nak buat,” tutupnya. – HIBGLAM