PENYANYI dan komposer muda, Syafii Nasir mengakui bapanya, Datuk M. Nasir tidak pernah menentukan hala tuju kerjaya atau genre muzik dalam hidupnya.
Syafii atau nama lengkapnya Syafii M. Nasir, 30, berkata, insan dihormati itu sekadar memberikan pandangan mengenai karya dihasilkan.
“Ya betul, saya tidak ikut jejak ayah dalam genre muzik atau dikenakan sebarang syarat apabila terbabit dalam bidang muzik.
Memang ayah bagi pendapat dan biasanya akan kritik apa yang kita buat tetapi dia tidak pernah tentukan hala tuju,” katanya kepada HibGlam semasa majlis pra-dengar album Ini Adalah Ujian Transmisi Ramayan, semalam.
Vokalis kumpulan Ramayan itu turut mendedahkan bapanya menitipkan pesanan setiap genre dibawakan perlu berteraskan pop kerana lebih dekat dengan cita rasa pendengar.
Atas nasihat diberikan, elemen pop sentiasa menjadi keutamaannya dalam setiap lagu yang dihasilkan kelak.
Ayah saya cakap daripada awal, apa-apa pun buat lagu kena ada genre pop. Buat macam genre yang berat sedikit tetapi lagu itu tetap kena pop.
“Setiap lagu kena ada melodi sebab orang kita lebih pentingkan melodi dan penyanyi sebab apabila tiada orang (penyanyi), penonton akan rasa bosan dan kosong.
“Jadi itu yang kami cuba utamakan selama ini. Cuma dulu saya lebih pentingkan muzik dan elemen pop itu kurang, tetapi sekarang kami pentingkan suntikan pop lebih dalam setiap lagu,” ujarnya.
Untuk rekod, Ramayan ialah kumpulan muzik rock psikedelik Malaysia ditubuhkan pada 2014 yang dianggotai Syafii Nasir selaku vokalis, Omar (bes) dan Que (dram).
Album Ini Adalah Ujian Transmisi juga merupakan buah tangan kedua yang memuatkan 11 lagu.- HIBGLAM