‘Cepat rakam kalau kena ‘ganggu’, itu bukti’

PENYANYI dan aktivis kemanusiaan, Caprice menyarankan mana-mana wanita yang berdepan gangguan seksual agar mengumpul segala bukti termasuk merakam video untuk dibawa ke muka pengadilan.

Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 37, berkata, usah dipedulikan tanggapan sebilangan pihak kononnya perbuatan merakam untuk mencari perhatian dunia media sosial.

Ramai tanya soalan bodoh ‘kenapa nak rakam?’. Mai saya jawab, sebab 99.9 peratus kes gangguan seksual akan jadi NFA (Tiada Tindakan Lanjut) apabila tiada bukti,” katanya menerusi satu hantaran Instagram.

Jelas pelantun lagu Dem Girls itu lagi, rakaman adalah bukti yang paling kukuh apabila kes dibawa ke pihak berkuasa.

Betul. Jadi, sesiapa yang alert, tolong rakam atau cuba untuk rakam sebanyak mana yang kalian boleh. (Jangan) pedulikan netizen yang bengap.

“Saya sendiri seram baca komen di Facebook yang persoalkan mangsa kenapa rakam (video).

“Kita yang baca pun stres. Tengok profil ada isteri dan anak-anak. (Patutnya) kita ajar anak-anak kalau sesiapa cuba buat benda pelik, cepat-cepat cuba rakam supaya ada bukti,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman kes gangguan seksual membabitkan seorang pelajar wanita dilaporkan berlaku di dalam bas ekspres yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke terminal bas Melaka Sentral.

Insiden berlaku sekitar pukul 6 petang itu membabitkan pelajar universiti berusia 19 tahun yang didakwa dicabul warga asing ketika dalam perjalanan pulang dari kolejnya di Kuala Lumpur.

Suspek yang juga seorang tukang cuci yang berpangkalan di Alor Gajah, Melaka ditahan anggota polis sebaik tiba di Melaka Sentral kira-kira pukul 8 malam pada hari sama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok