SELEPAS rumah tangga bersama pengarah Syamsul Yusof berakhir dengan lafaz cerai di mahkamah, pelakon Ira Kazar mengakui berusaha keras membina semula kekuatan diri untuk terus bangkit.
Ujar Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin, 30, dia pernah berada dalam fasa sukar namun enggan terus hanyut dengan kemurungan.
“Bukan mudah untuk saya ‘move on’ dan pandang ke hadapan. Semua itu mengambil masa untuk membentuk keyakinan diri.
Orang lain tak boleh tolong, jadi saya paksa diri untuk keluar dari kepompong negatif. Itu caranya, saya paksa diri sendiri.
“Apa yang saya lalui sebelum ini banyak memberikan pengajaran. Sekarang saya nampak macam-macam perkara saya boleh lakukan,” katanya menerusi video dalam TikTok.
Nekad meneruskan hidup baharu, anak kepada pelakon senior Kazar Saisi itu berkata, keputusan untuk bangkit semula datang daripada kesedaran dalaman.
“Sebenarnya bergantung kepada diri sendiri.
Kalau kita memilih untuk bersedih atau kemurungan terlalu lama, maka kita akan sentiasa di situ.
“Saya tanam niat untuk teruskan hidup dan nak tengok perkara-perkara baru. Saya tak mahu sedih dan murung terlalu lama,” luahnya.
Pun begitu, Ira tidak menafikan sokongan insan sekeliling juga menjadi antara sumber kekuatannya untuk kekal positif.
“Orang sekeliling saya pun memainkan peranan juga. Mereka bagi kata-kata semangat dan doa-doa yang sangat baik,” ujarnya.
Terdahulu, Ira mendirikan rumah tangga bersama Syamsul pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand.
Namun, pada 5 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafaz Syamsul terhadap Ira ketika masih bergelar suami isteri.
Syamsul dan Ira disahkan bercerai oleh mahkamah pada hari sama. – HIBGLAM