HADIR di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pukul 11.35 pagi tadi, pasangan sensasi Marissa Dania Hakim dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid memilih tidak memberikan sebarang respons berhubung prosiding permohonan pengesahan pernikahan mereka.
Masing-masing yang memakai pelitup muka terus bergegas ke Dewan Bicara Dua bersama peguam syarie mewakili mereka, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri memandangkan kes sepatutnya pada pukul 11 pagi.
Bahkan, anak kepada pelakon Abby Abadi serta Norman Hakim itu juga hanya membungkam ketika wakil media mengucapkan salam kepadanya dan suami.
Begitupun, Marissa tampak menganggukkan kepala dan memberi jawapan tatkala soalan berkenaan keadaannya pada masa ini diajukan.
“Okey,” katanya ringkas sambil berlaku mengekori Ahmad Aslam serta peguam mereka.
Menurut peguamnya dari Tetuan Muhammad Ammar & Associates, kehadiran pasangan terbabit hari ini adalah bagi prosiding siasatan permohonan pengesahan pernikahan mereka di Songhkla, Thailand pada 27 Disember 2023 di pihak Marissa.
Pada 5 Mei lalu, pempengaruh berusia 20 tahun bersama Ahmad Aslam, 26, muncul di mahkamah sama untuk penyerahan dokumen dan prosiding siasatan pertama pihak lelaki.
Menurut peguam mereka, andai siasatan dan dokumen lengkap selain hakim berpuas hati dengan hasil siasatan, pihak mahkamah sudah boleh mengeluarkan perintah pengesahan pernikahan.
Terdahulu, perkahwinan pasangan yang bernikah di luar negara dua tahun lalu itu mengundang perhatian ramai selepas ibunya mendakwa mereka bernikah secara rahsia.
Pernikahan itu juga dikatakan berlangsung ketika isteri pertama Ahmad Aslam, Umisya Mazlan sedang mengerjakan umrah.
Ahmad Aslam dan Umisya mendirikan rumah tangga pada Julai 2020 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Hud, 4, Nuh, 3, dan bayi perempuan yang kini berusia tiga bulan.
Manakala dengan Marissa pula, dia pernah kehilangan bayi yang dilahirkan pra-matang pada Ogos tahun lalu iaitu ketika kandungan berusia enam bulan. – HIBGLAM