‘Takut anak kena tempias’ – Aeril Zafril tolak konten murahan

PELAKON Aeril Zafrel menegaskan tidak pernah terlintas untuk mencipta kontroversi atau mengikuti trend negatif semata-mata mahu menghidupkan semula nama dalam industri hiburan.

Menurut Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 38, biarpun sedar konten sensasi mampu menarik perhatian ramai, sebagai bapa kepada empat anak dia enggan mempertaruhkan maruah demi tontonan murahan.

Saya cuba untuk tidak lakukan perkara yang negatif walaupun saya tahu semua itu boleh menaikkan jumlah tontonan dalam media sosial.

“Saya risau jika saya lakukan, akan terpalit pula kepada anak-anak,” katanya kepada HibGlam.

Aeril yang sebelum ini  dilabel Presiden TikTok turut mengakui diri semakin berusia dan tenaganya untuk berkarya dalam media sosial makin berkurang.

Kini, tumpuannya lebih kepada keluarga dan kerjaya seni yang stabil tanpa perlu mencipta drama palsu.

“Dulu memang aktif TikTok, sekarang dah kurang.

Bukan sebab apapun tapi mungkin tak larat macam dahulu,” ujarnya ringkas.

Pelakon filem Abnormal Buas itu sempat menitipkan pesanan kepada pempengaruh media sosial supaya tidak terjebak dengan kandungan yang melampau demi mengejar populariti segera.

“Saya tahu mereka sengaja reka cerita untuk naikkan jumlah tontonan dan perkara itu memang dah jadi satu trend.

Bila nama dah mula merundum, mereka perlukan satu isu untuk naikkan balik nama. Dari situ boleh jana pendapatan. Tapi kalau boleh janganlah buat perkara begitu,” ujarnya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Laknat, semalam.

Aeril berkahwin dengan pelakon Wawa Zainal pada 2013 dan kini bahagia bersama empat cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 11, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 9, Ayya Sofia, 5, dan Muhammad Fahri, 4 tahun.

Dalam perkembangan terbaharu, Aeril muncul menerusi filem Laknat arahan Saw Teong Hin.

Filem bergenre seram psikologi itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 Jun depan dan turut menampilkan barisan pelakon seperti Puteri Balqis, Jalil Hamid, Amerul Affendi, Naque Ariffin, Noorkhiriah serta Mila Mohsin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok