SAMBUTAN luar biasa mendorong Inteam menukar lokasi Konsert Kasih Kekasih Inteam 2025 ke IdeaLive Petaling Jaya, Selangor yang boleh memuatkan 5,000 penonton.
Bersyukur dengan sambutan tersebut, vokalisnya, Mohd. Syahril Abdul Khalid turut memaklumkan tarikh konsert juga dipinda ke tarikh baharu iaitu 28 September depan.
“Kami tidak menyangka sambutan sebegitu hebat.
“Peminat turut mencadangkan agar kami menambah malam kedua atau memilih lokasi yang lebih besar.
Maka kami mengambil keputusan untuk berpindah ke IdeaLive, Petaling Jaya dan tarikh dipinda ke 28 September 2025,” katanya dalam sidang akhbar Konsert Kasih Kekasih Inteam, hari ini.
Tiket baharu akan mula dijual pada 14 Jun menerusi platform Ticket Empire melalui laman rasmi konsert www.kasihkekasih.com.
Konsert tersebut akan menyajikan lebih 25 buah lagu dan medley nostalgia termasuk penampilan istimewa anak kepada Allahyarham Suhaimi Saad serta beberapa artis jemputan yang masih dirahsiakan.
Sebelum ini, Inteam mengumumkan bakal mengadakan konsert sulung mereka di Zepp, KL.
Tidak sampai dua jam, tiket konsert sudah habis terjual dan rata-rata meluahkan rasa hampa apabila tidak dapat menghadiri konsert. – HIBGLAM