‘Keadaan lokap menyedihkan, 8 hari saya tidur depan tandas’

PELAWAK Yassin Senario berkongsi pengalaman ngeri tidur berdiri selama lapan hari di sebuah lokap di Jeddah, Arab Saudi, selepas ditahan ketika mahu menunaikan umrah pada Oktober tahun lalu.

Dedah Yassin atau nama sebenarnya Yassin Yahya, 47, keadaan lokap yang sesak memaksa dirinya berehat berdiri sebelum dibenarkan tidur di hadapan pintu tandas.

Keadaan di lokap agak menyedihkan. Kali pertama saya tidur berdiri sebab lantai penuh.

“Saya akhirnya dapat juga tidur di depan pintu tandas. Nampak kaki orang langkah saya dalam masa lapan hari,” katanya menerusi satu audio siar.

Tambah Yassin, selepas 10 hari ditahan di balai polis, dia dipindahkan ke Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing pada 5 November tahun lalu.

Katanya, ketika itu, hanya panggilan daripada pihak konsulat Malaysia menjadi penyambung harapan untuk terus bertahan.

“Pihak konsulat pun sukar nak tembus. Alhamdulillah, mereka akhirnya dapat bercakap dengan saya.

Kali pertama saya dapat tinggalkan voice note kepada isteri. Atas bantuan pihak konsulat juga, saya diberikan bercakap dengan isteri namun talian terputus-putus,” ujarnya.

Tambah Yassin, dia dibicarakan secara atas talian pada 19 November dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara atas kesalahan membawa barangan bercetak lambang larangan.

Saya melalui perbicaraan di mahkamah secara talian. Saya jelaskan kejadian berlaku, saya bukannya penyeludup tetapi saya dijatuhkan hukuman selama enam bulan.

“Saya akur kesalahan. Saya beritahu isteri, ini kesalahan saya bawa barang ada lambang larangan, mungkin saya terlepas pandang. Apapun, saya anggap ini musibah dan perjalanan hidup saya,” luahnya.

Bapa empat anak itu menegaskan pengalaman tersebut menjadi peringatan besar buat dirinya dan masyarakat agar lebih berhati-hati apabila ke luar negara.

Ini satu pengajaran. Saya nak pesan kalau pergi negara orang, berhati-hatilah. Jangan bawa barang ada lambang larangan.

“Saya tidak mengikuti kursus umrah, jadi saya tidak tahu, tapi inilah akibatnya pergi tanpa ilmu,” dedahnya.

Terdahulu, Yassin tiba dari Jeddah minggu lalu selepas dibebaskan dari pusat tahanan warga asing. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok