BIARPUN sudah lama berlalu, pengalaman seram selalunya akan sentiasa tersemat dalam ingatan seseorang.
Sama seperti yang berlaku kepada pelakon Mawar Rashid apabila kerap berhadapan situasi menakutkan.
Menurutnya, keadaan mistik dilaluinya adalah sewaktu berpantang anak sulungnya, Raden Rafael di rumah ibunya.
Banyak pengalaman seram. Sebenarnya orang cakap bila berpantang, perempuan lemah semangat.
“Saya berpantang anak yang pertama dalam enam ke tujuh tahun lepas di rumah mummy (panggilan ibu Mawar).
Saya naik ke bilik saya, memang tak ada orang duduk tetapi saya terhidu satu bau macam bau tengit ketiak, bau tengit ketiak itu sangat kuat.
“Bila cakap dengan mummy, dia kata memang ‘benda’ itu ada di rumah. Sejak itu, saya selalu fikirkan keadaan wanita berpantang yang mudah lemah semangat. Kena jaga betul-betul,” katanya kepada HibGlam.

MAWAR pernah mengalami pengalaman mistik dalam tempoh berpantang di kediaman ibunya.
Ralit bercerita tentang pengalaman seram, Mawar sebenarnya sedang menjalani penggambaran filem terbaharu berjudul Nar’sata Sekutu Setan.
Mengakui fobia melihat darah, Mawar sekuat-kuatnya mencabar diri menjayakan filem arahan Pierre Andre itu.
‘Hilang roh’
Sewaktu sesi bacaan skrip, Mawar juga tidak sanggup melihat rujukan yang diberikan Pierre kerana ada bahagian yang terlalu ‘ganas’.
“Sebenarnya saya fobia darah. Kalau nampak darah, boleh pitam tetapi setakat ini tak pernah jadi lagi cuma terasa macam hilang roh.
Bila ‘script reading’, Pierre akan tunjuk rujukan untuk mudahkan pemahaman kita. Saya tak sangguplah sebab rasa nak termuntah. Bila tengok apa yang Pierre tunjuk terus saya teringat cerita Final Destination. Dia ada campuran begitu dan semestinya sebab ini misteri, ada (juga) macam filem Conjuring dan Smile,” ujarnya.

MAWAR (kanan sekali) bersama barisan pelakon termasuk Khatijah Tan, Trisha Ooi yang sama-sama terbabit dalam filem arahan Pierre Andre berjudul Nar’sata Sekutu Setan. – SADDAM YUSOFF
Pada masa sama, Mawar selesa bekerja dengan Pierre yang sememangnya tidak disangkal pakar dalam karya seram.
“Kerja dengan Pierre sangat mudah sebab tak tertekan langsung. Dia sangat tenang dan relaks. Dia ada kebolehan dalam filem seram.
Banyak sangat pengalaman saya dapat terutamanya perkongsian ketika masuk set penggambaran.
“Sebab itu saya sebagai pelakon seboleh-bolehnya cuba dapatkan visual yang pengarah mahukan,” jelasnya. – HIBGLAM