PERNIKAHAN pasangan sensasi, Marissa Dania Hakim dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid dijangka dapat disahkan di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.
Peguam syarie mewakili mereka, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri berkata, pengesahan pernikahan di Songkla, Thailand pada 27 Disember 2023 bergantung kepada keputusan prosiding siasatan permohonan pernikahan di pihak Marissa.
“Kalau hakim berpuas hati dengan prosiding hari ini, Insya-Allah tengahari nanti semuanya dapat diselesaikan. Dalam sebutan lepas, hakim minta peguam sediakan hujah. Itu isyarat
hakim sebenarnya sudah bersedia beri keputusan.
Kita kena ingat bila seseorang dakwa dia dah bernikah, bawa bukti dan dokumen lengkap, sekali pandang sahaja orang boleh tengok itu bukan palsu.
“Jadi kalau dokumen itu sahih, bukan palsu, hakim sudah boleh sahkan pernikahan mereka. Selesai itu maksudnya mahkamah boleh keluarkan perintah dan failkan pengesahan pernikahan mereka,” katanya ketika ditemui HibGlam, pagi tadi.
Begitupun, kelibat Marissa, 20, dan Ahmad Aslam, 26, belum muncul di mahkamah walaupun mengikut jadual sesi mereka adalah sebelum tengah hari.
Pada 5 Mei lalu, pasangan berkenaan hadir ke mahkamah sama bagi prosiding siasatan di pihak suami iaitu Aslam tetapi difahamkan berlaku kesilapan ketika mengisi borang.
Terdahulu, perkahwinan anak kepada pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim itu dengan Ahmad Aslam dua tahun lalu di Thailand mengundang perhatian ramai selepas ibunya mendakwa mereka bernikah secara rahsia.
Pernikahan itu juga dikatakan berlangsung ketika isteri pertama Aslam, iaitu Umisya Mazlan sedang mengerjakan umrah.
Sebelum ini, wanita terbabit pernah membongkar mengenai hubungan sulit suaminya dengan pempengaruh berkenaan dalam media sosial.
Umisya mendakwa Marissa menjadi penyebab dirinya diceraikan pada September tahun yang sama namun
pasangan itu mengambil keputusan untuk rujuk semula ketika dalam tempoh idah.
Ahmad Aslam dan Umisya mendirikan rumah tangga pada Julai 2020 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Hud, 4, Nuh, 3, dan bayi perempuan yang kini berusia tiga bulan.
Manakala dengan Marissa pula, dia pernah kehilangan bayi yang dilahirkan pra-matang pada Ogos tahun lalu iaitu ketika kandungan berusia enam bulan. – HIBGLAM