PELAKON senior, Jalil Hamid mengakui hatinya tidak keruan apabila gagal menghubungi isterinya, Haryati Sariat yang kini berada di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji.
Jalil, 69, berkata, sejak kelmarin dia berulang kali mencuba untuk berhubung namun talian terganggu menyebabkan hatinya dibayangi pelbagai kebimbangan.
“Saya dah cuba hubungi dia dari semalam tetapi talian tidak berapa baik dan tersekat-sekat.
“Selepas menanti dari semalam, barulah petang tadi (semalam) saya dapat bercakap dengan dia,” katanya kepada HibGlam.
Lebih membimbangkan kata pelakon filem Bisik Pada Langit itu, isterinya memaklumkan kurang sihat selepas demam dan mengalami bengkak di kaki akibat perlu berjalan jauh setiap hari untuk beribadah.
Kongsi Jalil, isterinya mengalami kesukaran berjalan kerana perlu meredah jarak sejauh tiga kilometer dari hotel ke Masjidil Haram dan keadaan bertambah buruk apabila penyakit ketumbuhan di tumit kembali menyerang.
Saya terkejut kerana dia beritahu dia demam. Jadi saya mula susah hati dan saya berdoa supaya dia diberikan kesihatan yang baik dan cepat pulih.
“Ini disebabkan dia perlu berjalan sejauh tiga kilometer dari hotel ke masjidil haram untuk menunaikan ibadah.
“Kebetulan, dia memang ada penyakit ketumbuhan pada bahagian pada tumit kaki. Keadaan itu memburukkan kesakitannya,”ujarnya ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana filem Laknat, di sini, semalam.
Sebaik menerima khabar daripada suri hatinya itu, Jalil yang pada awalnya hampir membatalkan kehadiran ke majlis tayangan perdana malam tadi akhirnya membuat keputusan untuk tetap hadir bagi menyokong filem lakonannya itu.
Pada mulanya saya agak keberatan nak hadir. Tapi selepas dapat bercakap dengan isteri dan rasa lega, saya putuskan untuk hadir malam ini.
“Saya juga minta anak temankan ke majlis sebab saya tak boleh memandu,” dedahnya.
Dalam filem Laknat arahan Saw Teong Hin, Jalil tampil bersama barisan pelakon hebat seperti Aeril Zafrel, Puteri Balqis, Noorkhiriah, Amerul Affendi, Naqiu Ariffin, Mila Mohsin dan Ismail Yaakob.
Filem edaran D’Ayu Pictures itu akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 Jun ini. – HIBGLAM