KUMPULAN popular Blackpink membuatkan peminatnya di sini kecewa apabila Malaysia tidak tersenarai dalam 16 lokasi konsert jelajah dunia mereka, Deadline World Tour.
Konsert yang bermula 5 Julai depan di lokasi pertama Stadium Goyang, Korea Selatan itu bakal menjelajah di beberapa lokasi di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, England, Perancis dan Filipina.
Sayangnya, Malaysia tidak tersenarai sebagai salah satu negara Asia yang menjadi lokasi acara sebaliknya kumplan K-pop itu bakal beraksi di Indonesia, Singapura dan Thailand.
Rata-rata peminat di Malaysia melahirkan rasa kecewa dan terpaksa membeli tiket untuk menyaksikan konsert tersebut di negara jiran.
Mereka turut berharap syarikat rakaman Blackpink iaitu YG Entertainment mempertimbangkan untuk memasukkan Malaysia sebagai lokasi konsert jelajah tersebut.
“Kenapa Malaysia tidak tersenarai sedangkan peminat di Malaysia ramai!
Indonesia, Singapura dan Thailand dapat konsert lebih sehari tetapi Malaysia tiada langsung.
“YG Entertaiment tolong ambil perhatian, kami peminat di Malaysia pun mahu juga,” luah peminat Blackpink Malaysia yang digelar sebagai Blink dalam media sosial.
Hari ini, YG Entertainment menerusi satu hantaran Instagram memuat naik poster senarai lokasi konsert jelajah kumpulan yang dianggotai Jennie, Lisa, Jisoo dan Rose itu.
Dalam senarai tersebut, Hong Kong menjadi lokasi terakhir iaitu pada 24 hingga 25 Januari tahun depan. – HIBGLAM