Tunggu kepulangan saya sebelum raya haji – Yassin

PELAWAK sensasi Yassin Senario yang mengakui masih berada di Jeddah, Arab Saudi mengesahkan bakal pulang ke tanah air sebelum sambutan Aidiladha.

Yassin atau nama sebenarnya Yassin Yahya, 47, berkata, tarikh penerbangan belum dapat dikongsikan lagi namun dijadualkan sebelum 6 Jun depan.

Tunggu kepulangan saya di Malaysia. Insya-Allah, sekejap sahaja lagi saya balik,” katanya dalam siaran langsung TikTok, hari ini.

Anggota Senario berkenaan mengadakan siaran langsung itu bersama seorang pempengaruh juga sahabatnya di bawah akaun Rifkarl.

Difahamkan, isterinya Waheeda Maharidan, 46, bersama anak mereka turut berada di Jeddah bagi mengiringinya pulang.

Pada sesi yang berlangsung selama setengah jam itu, Yassin menjawab pelbagai soalan daripada peminat termasuk keadaannya sepanjang di sana.

Begitupun, dia tidak memberikan sebarang respons terhadap pertanyaan sama ada sudah dibebaskan atau tidak.

Cuma dalam nada berseloroh dia memaklumkan tidak menghilangkan diri sebaliknya bercuti.

“Bukan menghilang, saya bercuti,” ujarnya ringkas.

Namun rakannya pula menyatakan bahawa semua jawapan ada di hadapan semua kerana Yassin kini berada dalam siaran langsung tersebut.

Pada masa sama, Yassin mengesahkan dia bakal tampil dalam pementasan teater Muzikal Lawak Bangsawan: Mimpi Tuanku @ Senariounion di Panggung Bangsawan Melaka (PBM), Melaka pada 28 Jun depan.

Katanya, dia teruja untuk bersama anggota senario lain memeriahkan pementasan itu sekali gus berharap peminat mendapatkan tiket.

Ya saya akan sertai Muzikal Lawak Bangsawan: Mimpi Tuanku @Senariounion. Jadi jangan lupa sokong dengan mendapatkan tiket segera,” ujarnya.

Difahamkan, kumpulan terbabit akan menjalani latihan penuh bersama Yassin selama dua hari pada 26 dan 27 Jun depan.

Terdahulu, tanpa mendedahkan identiti media melaporkan seorang pelawak ditahan di Jeddah, Arab Saudi sejak Oktober tahun lalu atas kesalahan memiliki bahan terlarang iaitu dadah jenis ganja.

Pelawak itu dilaporkan sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu.

Hukuman berkenaan dijatuhkan pada November tahun lalu dan berkemungkinan dibebaskan lebih awal daripada tempoh ditetapkan sekiranya berkelakuan baik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok