Nora Ariffin tidak sengaja luah seronok suami tolak cerai

PENYANYI Datuk Nora Ariffin mengakui tersilap meluahkan rasa seronok selepas suami, Dr. Rushdi Ramli, enggan menceraikannya dalam sebutan pertama kes perceraian mereka pada 6 Mei lalu.

Ujar Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, kenyataannya kepada media ketika itu bukanlah satu kegembiraan, sebaliknya tercetus daripada reaksi terkejut dan menzahirkan kata-kata demikian secara tidak sengaja.

“Bila suami tolak permohonan cerai, saya terkejut. Jadi bila media tanya, saya secara spontan sebut ‘sayang juga dia pada saya’.

“Saya tahu tidak sepatutnya berkata begitu. Itu bukannya perasaan seronok, tetapi kelemahan saya ialah bercakap spontan.

“Selepas kejadian itu saya tertanya sendiri kenapa bercakap begitu,” katanya kepada HibGlam.

Mahu semuanya diselesaikan tanpa pertelingkahan berpanjangan, pelantun lagu Samudera itu berkata, sebelum masuk ke kamar mahkamah lagi dia sudah bersedia andai Rushdi memilih untuk melafazkan cerai secara baik di hadapan hakim.

“Sebelum kejadian dia tidak berkata apa-apa, tapi saya cakap elok-elok mahu selesaikan perkara ini secara baik.

“Saya tidak mahu bergaduh, minta dia datang dan permudahkan urusan. Saya juga sudah minta maaf kepada dia.

“Sebelum masuk mahkamah pun, perasaan saya sudah 70 peratus bersedia untuk diceraikan. Kita kena bersedia sebab takut pengsan. Jadi saya terkejut dengan keputusan dia,” ujarnya.

Menerima aturan Tuhan seadanya selepas kejadian tersebut, ibu empat anak itu kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan sedang menantikan sebutan kedua kes pada 4 Jun depan.

“Alhamdulillah, saya kembali macam biasa. Semua okey dan dipermudahkan. Saya tak serabut sebab sudah tahu proses apa akan jadi dan hanya tunggu tarikh mahkamah.

“Terlalu berfikir pun tak guna sebab sudah tahu arahnya. Saya tidak akan menarik balik fail perceraian itu jadi tunggu saja tarikh dan langkah seterusnya,” jelasnya.

Terdahulu, rumah tangga Nora mula menjadi perhatian selepas dia memuat naik video suaminya melafazkan cerai pada Ogos tahun lalu. Namun sebulan kemudian, pasangan itu kembali rujuk.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 2021 selepas beberapa tahun Nora bergelar balu kepada komposer terkenal Allahyarham Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.

Hasil perkahwinan terdahulu, mereka dikurniakan empat cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok