PENULIS lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan menyifatkan pemergian wartawan hiburan veteran Fauziah Rauf sebagai kehilangan besar buat dunia kewartawanan, selain satu perpisahan peribadi yang cukup menyentuh hati.
Menurut Habsah, 75, beliau mengenali Allahyarham sejak era 1970-an ketika masing-masing aktif dalam arena media hiburan tempatan.
“Saya sudah lama mengenali dia. Mungkin masa itu awak pun belum ada. Kami kenal sejak tahun 70-an.
“Ketika itu dia dengan Utusan, saya pula dengan RTM. Kami sama-sama aktif dalam Pusat Wartawan Wanita yang pertama. Jadi memang selalu ke sana sini bersama,” katanya kepada HibGlam.
Ujar penulis lagu Merisik Khabar itu, walaupun jarang bertemu persahabatan yang terjalin tetap kekal dalam ingatan.
Malah katanya, pertemuan secara tidak sengaja ketika bercuti di luar negara menjadi antara kenangan paling manis bersama arwah.
“Dah tua-tua ini saya dah tak memandu. Nak cari rumah arwah pun susah walaupun dalam bandar juga.
“Tapi dia memang sahabat yang sangat peramah, suka menjamu orang, suka bergurau dan sangat disenangi.
“Pernah juga jumpa dia di London. Masa itu masing-masing kebetulan ada di sana. Seronok sangat bila dikenang. Arwah memang periang, mudah mesra dan aktif orangnya,” ujarnya
Mengulas karakter Allahyarham sebagai wartawan, Habsah menyifatkan Fauziah, 81, sebagai individu yang sangat dihormati dalam kalangan artis kerana berintegriti dan profesional.
“Dia antara wartawan awal yang sangat dipercayai. Zaman itu, dia dan arwah Kak Bayah (wartawan) antara penyimpan rahsia artis paling setia. Mereka jadi tempat rujukan, tempat mengadu dan tempat berteduh.
“Arwah juga kuat bekerja. Dia dan suaminya, Allahyarham Omar Manan, sama-sama bergiat dalam dunia seni. Pasangan sehati sejiwa yang aktif dalam industri hiburan,” jelasnya.
Allahyarham Fauziah menghembuskan nafas terakhir di kediaman adiknya di Selayang, malam tadi akibat pendarahan di kepala.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai wartawan Majalah Wanita di bawah akhbar Utusan Malaysia merupakan antara nama penting dalam dunia kewartawanan hiburan tempatan.
Fauziah juga pengasas Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dan pernah menerbitkan pelbagai bahan bacaan menerusi syarikat Nilly Publication, termasuk majalah PESTA, Hawa dan Pentas Dunia.
Antara jasa besarnya ialah membawa penyanyi tempatan menyertai pertandingan Voice of Asia di Kazakhstan termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang menjuarai Grand Prix pada 2002.
Allahyarham pernah dianugerahkan Tokoh Wartawan Berjasa sempena Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia (AKIFMA) 2017 dan meninggalkan empat anak serta 13 cucu.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru selepas disolatkan di Masjid Selayang Baru, petang tadi. – HIBGLAM.