Enggan kisah cinta mengatasi bakat seni, penyanyi Zaki Yamani lebih selesa memilih untuk tidak berkongsi hubungan peribadi secara terbuka.
Ujar Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 19, biarpun sering dikaitkan dengan gosip cinta dengan beberapa individu sebelum ini, dia lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri.
“Pada saya, kontroversi cinta itu perkara biasa sebagai anak seni. Setiap artis ada kisah cinta mereka tersendiri. Untuk saya, kalau digosipkan saya bercinta atau dekat dengan sesiapa pun, saya okey saja.
“Cuma kalau boleh, saya lebih suka diam-diam. Saya tak mahu orang bertanya. Tapi kalau orang tanya pun saya diam juga.
“Sekarang saya masih single dan kalau saya bercinta sekalipun, saya tidak akan kongsi dengan orang,” katanya kepada HibGlam.
Tegas anak kepada Raja Pop, Jamal Abdillah itu, keengganan berkongsi soal pasangan bukanlah kerana mahu menyorok kecenderungan seksual seperti yang dibimbangi sesetengah pihak.
“Apapun saya ‘straight’ dan lurus ke jalan Allah. Takut nanti bila saya bagi kenyataan sorok kisah cinta, ada yang fikir saya gay pula!
“Saya sembunyikan hubungan bukan sebab saya nak sorok orientasi seksual saya. Saya cuma tak mahu netizen salah faham. Malulah kalau bapa saya tahu andai saya tak straight.
“Setakat ini belum pernah ada gosip macam tu, tapi saya jelaskan awal-awal takut netizen buat spekulasi bukan-bukan,” ujarnya pada pelancaran muzik video Aku Ada, duet bersama Putri Dahlia di sini, semalam.
Berkongsi kisah peribadi, pelantun lagu Mati Rasa itu mengakui sudah beberapa kali melalui episod putus cinta meskipun belum sampai usia dua dekad.
“Sebenarnya saya banyak kali putus cinta tapi saya bukan kaki perempuan dan bukan saya yang meninggalkan itu tetapi sebaliknya.
“Sekarang rupa tiada jaminan, tak semestinya ada rupa yang ‘helok’ (kacak atau cantik) boleh buat perhubungan kekal lama,” tuturnya.
Ditanya pula hubungan dengan regu duetnya, Putri Dahlia, Zaki menegaskan mereka hanya berkawan rapat dan tidak pernah melangkaui batas itu.
“Kami memang ada chemistry yang baik, tapi cukup sebatas itu. Bayangkan kalau saling berpandangan pun, kami akan ketawa.
“Jadi saya rasa hubungan itu tak akan jadi lebih daripada kawan,” jelasnya.
Zaki kini giat mempromosikan lagu terbaharu Aku Ada bersama Putri Dahlia, selain memberi sepenuh tumpuan terhadap perjalanan kariernya yang semakin berkembang tanpa mahu dibayangi gosip murahan atau salah tafsir masyarakat. – HIBGLAM