Pelawak Ajak Shiro tersentuh melihat kemesraan suami isteri warga emas lalu mendorongnya memborong kesemua ayam percik yang dijual pasangan itu.
Dalam masa sama, Ajak atau nama sebenarnya Mohd. Hanafi Razak, 40, turut mendoakan kesejahteraan pasangan terbabit agar terus diberi kesihatan yang baik.
“Hari itu ternampak mak cik dan pak cik ini berniaga. Sekali sembang-sembang terdengar dia panggil suami dia Ayang dan suaminya pula panggil dia Manja.
“Rasa cemburu mereka kaya dengan kasih sayang.
“Semoga Allah kurniakan kesihatan baik buat mereka berdua,” katanya perkongsian dalam TikTok.
Dalam video tersebut, penyampai radio Suria FM itu turut memberikan sumbangan wang yang tidak didedahkan jumlahnya kepada pasangan terbabit.
Wanita berkenaan dilihat tersentuh dengan tindakan Ajak lalu membuatkan dirinya menitiskan air mata.
Tidak hanya itu, pelawak berkenaan turut berkongsi pengalaman pernah berniaga ketika zaman kanak-kanak sama seperti mereka.
“Saya pernah meniaga tepi jalan begini masa kecil dulu. Berbunga-bunganya hati kalau jualan habis dan dapat tutup kedai awal.
“Boleh balik main dengan kawan-kawan. Sekarang, alhamdulillah Allah bagi pasukan yang bagus untuk berniaga.
“Ini saya pakai duit restoran sebab memang sudah niat. Bukan nak fikir untung sangat, asalkan tak rugi okey dah,” ujarnya lagi.
Ajak yang kini mengusahakan restoran makanan Indonesia dipuji kerana memiliki sikap rendah diri dan didoakan sentiasa dimurahkan rezeki. – HIBGLAM