PELAKON Rusdi Ramli teruja apabila industri seni sekarang memberi ruang kepada aktor senior menjadi tonggak utama dalam sesebuah naskhah.
Rusdi, 55, berpendapat, perkara tersebut mampu menyeimbangkan antara pelakon baharu dan lama selain memberi peluang aktor senior untuk menunjukkan aksi cemerlang.
Kebanyakan skrip dahulu untuk watak berusia ini cuma sebagai ‘tempelan’ sahaja tetapi sekarang, karakter macam kami diberi peluang untuk ke depan dalam sesuatu naskah.
“Ini sesuatu yang positif dan beri keseimbangan antara pelakon baru dan lama,” katanya kepada Kosmo! Online ketika majlis tayangan perdana episod akhir drama Pabila Dia Tersenyum yang berlangsung di ibu kota, semalam.
Bagaimanapun, bintang filem Waris Jari Hantu itu mengakui negara luar lebih cenderung untuk mengangkat hero dalam kalangan pelakon senior berbanding pelakon baharu.
Jarang sebenarnya kita lihat hero yang berumur memegang watak utama di Asia Tenggara. Tetapi kalau selain daripada Asia Tenggara, kebanyakan hero ini semua sudah berumur seperti 40 tahun ke atas.
“Asia Tenggara sahaja yang banyak ketengahkan watak utama dari golongan remaja dan bawah 30.
“Saya tidak tahu mungkin selera Asia Tenggara macam itu kan? Sebagai contoh, Shah Rukh Khan yang sudah berumur 60 tahun tetapi masih menjadi hero lagi,” katanya lagi.
Sebelum ini, kemunculan pelakon-pelakon berpengalaman seperti Faizal Hussein dan Datuk Rosyam Nor memegang watak Utama sering mendapat perhatian. – HIBGLAM