‘Dia bukan pinjam duit tapi minta platform ‘ – Aliff Syukri puji Aiman

Terkesan dengan nasib yang menimpa pempengaruh Aiman Tak Kesah, usahawan selebriti Datuk Aliff Syukri kagum dengan sikap lelaki itu yang datang meminta kerja walaupun diuji masalah rumah tangga.
Dalam masa sama, Aliff atau nama lengkapnya Aliff Syukri Kamarzaman, 38, memuji Aiman yang enggan berhutang, sebaliknya bersungguh-sungguh mencari rezeki untuk menyara keluarga.
“Aiman masih muda, mungkin ada tersalah dalam percaturan tetapi bukan pengakhiran. Dia datang kepada saya dengan kekusutan masalah yang dialaminya terutama dari segi ekonomi dan masalah peribadi.
“Dia yang diuji dengan macam-macam ada komitmen, masih ada keluarga yang perlu disara dan ada anak yang bakal dilahirkan.
Satu saya nak puji, dia datang bukan nak meminjam duit tetapi minta diberikan platform supaya boleh ada kerja nak mencari nafkah keluarga. Lelaki kalau rajin cari duit insya-Allah setiap hari akan ada makanan terhidang atas meja,” katanya dalam Instagram.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Abang Nak Tegur itu turut terkesan melihat keadaan Aiman yang dilihat sangat kecewa saat diuji.
“Saya kasihan dengan Aiman dan bantu menambah pendapatan. Jadi, saya beri peluang dia bekerja sebagai hos, saya nampak dia gembira dan sangat bersemangat.
‘Tetapi bila habis siaran langsung, saya nampak dia ‘down’ sangat. Hanya seorang lelaki yang bergelar suami sahaja faham apa yang dia rasa.
“Kita sebagai suami nak wanita yang lemah lembut yang memahami sahaja, itu sudah cukup kan?,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Aliff turut menasihati Aiman agar memperbaiki hubungan dengan isterinya, Siti Jamumall selain enggan mengeruhkan keadaan.
“Saya ikut perkembangan Aiman yang tular baru-baru ini. Bagi saya urusan keluarga, biarlah dia uruskan hanya mereka suami isteri yang lebih tahu asam garam perkahwinan. Ikutkan saya selalu nasihatkan dia bersatu balik dengan isteri.
“Tetapi daripada sudut seorang lelaki yang bergelar suami dan ayah, saya faham Aiman mahukan yang terbaik dan berusaha sehabis baik untuk dia dan pasangan.
Saya tidak mahu mengeruhkan lagi sebab bagi pasangan saya Aiman dan Siti ini kedua-duanya orang baik. Allah selamatkanlah rumah tangga mereka,” jelasnya.
Dalam kesempatan itu, Aliff turut memohon netizen tidak mengecam Aiman dan berharap dapat membantu lelaki itu mencari pendapatan untuk menyara keluarga.
“Kita janganlah cepat menghukum. Saya kagum dengan kesungguhan dia nak cari duit bagi kehidupan keluarga yang lebih baik.
“Sokonglah Aiman dekat platform saya supaya rezeki ini dapatlah dia menanggung komitmen yang ada dan juga anak yang bakal dilahirkan dengan mencari rezeki halal.
Kalian janganlah kecam-kecam, kita semua ada komitmen. Lihat daripada sudut yang positif insya-Allah ada manfaat dan kesan yang lebih besar daripada itu. Kita semua belajar daripada kesilapan,” jelasnya.
Sebelum ini,  Aiman atau nama lengkapnya Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, melafazkan cerai terhadap isterinya yang sedang membuat siaran langsung dalam TikTok.
Dalam siaran langsung tersebut, Aiman melafazkan cerai kepada Siti Suriani, 26, sebanyak tiga kali sebelum siaran itu dihentikan secara mengejut.
Minggu lalu, Aiman memfailkan kes pengesahan lafaz cerai terhadap Siti di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam.
Pada 6 Mei lalu, mereka pernah bercerai dan hadir ke mahkamah sama namun memutuskan kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat. – HIBGLAM
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok