“Ya! Saya penyanyi sendu!”
Itu respons penyanyi dan pempengaruh media sosial, Erul Samah saat ditanya tentang penyertaan dalam uji bakat program terbaru terbitan Astro, Raise The Star Malaysia.
Menurut Erul atau nama sebenarnya Khairul Najmuddin Abu Samah, 34, sudah 10 tahun dia tidak menyertai program realiti dan sering gagal setiap kali mengeluarkan lagu.
“Macam-macam perkara telah saya lakukan. Tetapi orang tetap tak boleh terima. Ada yang dah lupa bahawa saya ini penyanyi kerana mereka lebih kenal saya sebagai raja komen.
Bila Astro mengadakan uji bakat untuk program ini, saya tergerak hati untuk turut serta kerana barisan jurinya terdiri daripada komposer.
“Sepanjang bergelar penyanyi saya tiada lagu hit. Saya juga bukan penyanyi yang betul-betul dikenali sebagai penyanyi,” katanya kepada HibGlam sewaktu ditemui di uji bakat Top 100 Raise The Star Malaysia yang berlangsung di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Tambah finalis Akademi Fantasia musim ke-9 itu lagi, kejayaan yang dikecapi penyanyi Nadeera Zaini menjadi pemangkin semangatnya untuk kembali aktif dalam bidang muzik.
“Saya mengenali Nadeera dan pernah bekerjasama dengannya. Saya nampak dia penyanyi yang tidak putus asa untuk terus mencuba sehinggalah berjaya hari ini. Dia telah buktikan jika ada semangat juang yang tinggi, pasti dapat mengecapi kejayaan,” katanya.
Erul juga sanggup melakukan perubahan imej seperti yang disarankan oleh barisan juri sewaktu menghadiri sesi uji bakat yang pertama.
“Mereka minta saya tukar imej untuk lari daripada bayangan imej k-pop yang saya bawa dulu. Maka untuk sesi Top 100 ini saya ikut nasihat mereka dan tukar gaya pakaian serta potongan rambut.
Sebenarnya sebagai penyanyi penting untuk ada orang yang lebih berpengalaman memberikan pendapat mereka. Kadang-kadang kita rasa kita dah menyanyi cukup sedap, tetapi mungkin teknik yang digunakan salah.
“Ilmu sebegitu yang saya perlukan daripada barisan juri supaya dapat menjadi penyanyi yang diterima ramai,” katanya. – HIBGLAM