MENCIPTA sejarah tersendiri, kumpulan Inteam membuktikan kehebatan genre nasyid apabila tiket Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun pada 27 September depan habis disambar peminat dalam tempoh dua jam.
Berita gembira persembahan mega sempena ulang tahun jubli perak itu dikongsikan dalam Intagram rasmi kumpulan terbabit.
Terima kasih atas sokongan padu semua. Mohon maaf kepada yang tidak berjaya (dapatkan tiket),” kata kenyataan dalam ruangan kapsyen.
Susulan itu, rata-rata meminta penganjur menambah satu hari lagi bagi membolehkan ramai lagi menonton konsert itu.
Lebih menarik apabila permintaan itu turut disuarakan peminat dalam kalangan bukan Islam yang mahu sama-sama menikmati alunan dendangan harmoni.
Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun yang membariskan Mohd. Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman itu dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.
Bertemakan Cinta Ilahi, Sayang Nabi dan Kasih Insani, difahamkan mereka akan menyampaikan 25 hingga 27 lagu termasuk secara medley.
Terdahulu, peminat kumpulan terbabit meluahkan perasaan teruja dan sedia ‘berperang’ untuk mendapatkan tiket konsert berkenaan apabila konsert berkenaan diumumkan.
Lebih menarik, ramai netizen mula berlatih dan gigih menghafal semula lagu-lagu popular Inteam yang dikongsikan dalam media sosial.
Paling mencuit hati apabila ada yang memberi cadangan mahu membawa kayu sugi bagi menggantikan ‘lightstick’ pada konsert itu nanti. – HIBGLAM