SELEBRITI versatil Alif Satar sekali lagi menyentuh hati peminat apabila berkongsi momen menunaikan solat berjemaah berlatarbelakangkan gunung bersalji ketika mengembara di New Zealand bersama kumpulannya, The Locos, baru-baru ini.
Menerusi hantaran Instagram, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 35, memuat naik beberapa foto dia dan ahli band mendirikan solat di kawasan lapang sekali gus bersyukur diberikan peluang menikmati pemandangan seindah itu.
Sewaktu kami satu band bermusafir di New Zealand, sepanjang perjalanan ada beberapa tempat kami singgah, berhenti campervan dan solat berjemaah.
“Memang rezeki kami setiap kali berhenti, pemandandangannya macam ni. Masya-Allah menakjubkan,” tulisnya.
Pelantun lagu Lelaki Seperti Aku itu turut mengingatkan orang ramai bahawa keindahan dunia hanyalah cebisan kecil berbanding ganjaran akhirat, malah menyeru umat Islam agar tidak leka dalam menunaikan tanggungjawab sebagai hamba.
Kalau dunia ni kita celup jari dalam laut, air yang tinggal kat jari tu pun tak sama dengan nikmat akhirat. Dunia dah lawa, syurga macam mana?
“Solat itu kunci syurga. Jangan tinggal sembahyang,” ujarnya.
Momen tersebut mendapat perhatian ribuan pengikut dalam media sosial yang rata-rata kagum dengan prinsip hidup bapa tiga anak itu.
“Masya-Allah, meremang tengok gambar. Cantiknya ciptaan Allah. Lagi cantik bila solat jadi keutamaan,” komen seorang pengguna media sosial.
Patutlah rezeki Alif tak pernah putus. Dia jaga hubungan dengan Tuhan,” tulis seorang netizen.
“Kalau semua artis macam ini, tentu banyak anak muda terinspirasi. Teruskan bro!” balas seorang lagi peminat.
Alif sebelum ini aktif menggerakkan kempen ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ dan terkenal sebagai artis yang tidak pernah menyisih elemen spiritual dalam kehidupannya. – HIBGLAM