‘Saya tidak guna jalan pintas’, Kim Kardashian bakal bergelar peguam

SELANGKAH bergelar peguam, personaliti popular Kim Kardashian berkongsi keterujaan berjaya menamatkan pengajian undang-undang selepas enam tahun belajar.

Katanya, dia bukan belajar di universiti, sebaliknya menyempurnakan pengajian program perantis California melalui sebuah syarikat guaman di San Francisco, Amerika Syarikat.

Kim, 44, juga memaklumkan akan bergelar peguam sebaik tamat peperiksaan yang melayakkannya menjadi pengamal undang-undang.

“Enam tahun lalu saya mengikuti pengajian ini tanpa apa-apa, selain keinginan yang kuat untuk memperjuangkan keadilan.

“Saya juga tidak mengikuti jalan pintas untuk ke menara gading sebaliknya hanya berbekalkan keazaman yang tinggi,” katanya.

Penerima anugerah Choice TV Show : Reality 2016 itu juga memaklumkan kejayaan diraih bukan mudah apabila perlu bijak membahagikan masa tanpa mengabaikan perniagaan, keluarga dan kerja penggambaran.

“Sepanjang program ini, saya mendedikasikan 18 jam seminggu, 48 minggu setahun selama enam tahun berturut-turut.

“Sebanyak 5,184 jam saya tumpukan untuk fokus terhadap pengajian ini.” katanya.

Kejayaan selebriti sensasi itu turut diraikan keluarga dan kenalan rapat apabila mereka mengadakan majlis kejutan di Beverly Hills.

Anak-anak Kim selain adik-beradiknya, Khloé dan Kourtney Kardashian juga memeriahkan hari bermaknanya dengan berkongsi kegembiraan di laman sosial.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok