BAGAI peminat nombor satu, nyanyian selebriti sensasi Bella Astillah yang membawakan lagu Like My Father meraih perhatian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
Diberikan pujian melangit, pemilik nama lengkap Syed Saddiq Syed Abd. Rahman, 32, itu menggambarkan vokal penyanyi dan pelakon terbabit seindah suara malaikat.
Such an angelic voice (merdu bak suara malaikat)”, tulisnya dalam ruangan kapsyen pada video dikongsikan Bella dalam Instagramnya.
Biarpun hanya luahan pendek, kata hati yang disifatkan pujian tulus lelaki terbabit menggambarkan kekagumannya dengan bakat serba boleh ibu tunggal dua anak itu.
Apatah lagi lirik lagu nyanyian asal Jax itu berkisar ciri lelaki idaman seorang wanita yang menjadi pelindung selain mencintai seperti ayahnya menyayangi ibunya.
Tidak hairan ramai yang mengambil peluang mengusik Syed Saddiq dengan mengatakan lagu tersebut sebagai tanda untuknya bertindak segera selaku individu paling rapat dengan wanita terbabit.
Bella dah bagi ‘hint’ tu YB (Yang Berhormat). Apa tunggu lagi,” tulis seorang netizen.
“Memang secara terang lagu ini untuk YB,” kata peminat Bella.
“Syed Saddiq tengah guling-guling la tu,” usik pengikut lain.
Terdahulu, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, menerusi video itu menyatakan dendangan berkenaan menggambarkan suara hati.
“Ada antara lagu mewakili suara hati anda. Ini adalah verso saya. Bawakan lagu yang indah, Like My Father. Harap anda menyukainya,” katanya.
Difahamkan, rakaman video tersebut turut mendapat bantuan penyanyi, Daniesh Suffian.
Terdahulu, keakraban Bella dan ahli politik berkenaan diperkatakan ramai selepas mereka semakin intim sehingga mencetuskan spekulasi percintaan.
Gandingan pasangan terbabit untuk beberapa projek selain hadir berdua di pelbagai majlis membuatkan nama BASS atau Bella Astillah-Syed Saddiq tular dalam media sosial.
Biarpun tidak memberi sebarang pengesahan tentang dakwaan bercinta, keluarga kedua-dua personaliti popular itu memberikan restu andai gosip membabitkan mereka benar. – HIBGLAM