Penyamar balas komen, Jaclyn Victor mohon laporkan IG palsu

BIMBANG identiti disalah guna, penyanyi Jaclyn Victor menyelar tindakan seorang individu yang menyamar sebagai dirinya menggunakan akaun Instagram (IG) palsu.

Jaclyn atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 47, berharap orang ramai dapat membantunya melaporkan dan menyekat akaun terbabit yang turut membalas komen seolah-olah daripada dirinya.

“Palsu! Tolong sekat dan laporkan akaun ini kerana individu terbabit meninggalkan komen dengan menyamar sebagai diri saya,” katanya menerusi perkongsian di InstaStory.

Sebagai bukti, penyanyi lagu Gemilang itu turut menunjukkan tangkap layar Instagram dimaksudkan serta komen palsu mendakwa akaun terbabit adalah media sosial rasminya.

“Terima kasih atas sokongan dan komen anda di laman rasmi. Saya teruja mengenali peminat setia seperti anda, boleh saya tahu anda dari mana”, demikian maklum balas pihak terbabit kepada beberapa pertanyaan pengguna laman sosial.

Begitupun, berdasarkan semakan setakat ini akaun berkenaan belum memuat naik sebarang hantaran atau foto selain tidak mempunyai pengikut.

Sebelum ini beberapa selebriti tanah air pernah berdepan masalah sama apabila nama mereka dipergunakan untuk tujuan penyamaran identiti.

Antara yang pernah ‘terkena’ ialah pelakon Ellie Suriaty apabila pihak tidak bertanggungjawab membuka akaun TikTok di bawah namanya untuk meminta bantuan kewangan daripada netizen.  –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok